Wednesday, 7 October 2026

IKAN ADUWEH SESUAI DIBUAT IKAN KERING

 
Ikan aduweh sesuai dibuat ikan kering. Nama ini digunakan di kalangan penduduk Kelantan dan Terengganu.

Nama itu juga merujuk kepada spesies ikan talang padi atau anak ikan talang. Orang tua-tua dahulu juga mengenali ikan ini dengan nama ikan serangat atau cucuk rabung.

Fizikal ikan ini bersaiz kecil dan merupakan spesies talang terkecil di perairan Malaysia jika dibandingkan dengan talang raya atau talang pandan.

Begitu pun, tidak dapat dipastikan sama ada ikan ini merupakan satu daripada spesies ikan talang ataupun hanyalah anak kepada spesies ikan talang yang sedia wujud di perairan negara kita seperti ikan talang raya dan ikan talang pandan.

Jika dilihat secara teliti, ia lebih serupa kepada ikan talang pandan berdasarkan profilnya yang tidak selebar dan tidak ada tompok-tompok hitam besar yang sebaris seperti ikan talang raya.

Ikan aduweh ada duri yang sangat tajam dan berbisa. Kehadiran barisan duri halus tetapi sangat tajam yang tersembunyi di bahagian belakang, bermula dari atas kepala hingga ke sirip dorsal.

Sengatan duri ini boleh menyebabkan rasa pedih menyengat yang amat sangat hingga ke tisu daging.

Dipercayai, nama "Aduweh" itu sendiri berasal daripada perkataan "aduh, weh!" yang sering dijerit oleh nelayan atau pemancing apabila tidak sengaja tercucuk durinya.

Ikan ini mempunyai gigi halus, tajam dan sekata di dalam mulutnya.

Ikan aduweh adalah pemangsa (karnivor) aktif yang suka mengejar makanan dalam kumpulan yang besar.

Anak-anak ikan dan udang merupakan makanan utamanya. Ikan ini bermusim dan ketika puncak musimnya, boleh kelihatan dalam satu kumpulan mengejar makanannya.

Jika memancing, sekiranya seekor berjaya dipancing, biasanya kawanan ikan yang lain akan turut menyambar umpan atau gewang secara berturut-turut.

Sebab itu ikan ini dianggap sebagai hiburan dan kepuasan kepada pemancing.

Kebiasaannya ikan ini ditemui di kawasan pesisiran pantai, muara sungai yang bertemu dengan laut, serta kawasan paya bakau atau berlumpur.

Walaupun berduri tajam, dagingnya sangat digemari terutamanya untuk diproses menjadi ikan kering.

Ikan kering aduweh


No comments:

Post a Comment