Setiap negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera. Bendera menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali sesebuah negara berdasarkan benderanya.
Sejarah Jalur Gemilang bermula
apabila akhbar The Malay Mail menjalankan pendapat umum terhadap tiga reka
bentuk yang terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera
Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan
pada tahun 1949.
Persekutuan Tanah Melayu perlu
memiliki bendera sendiri kerana negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika
itu bendera rasmi di negara kita adalah Union Jack iaitu bendera negara British
yang menjajah negara kita.
Pada 28 November 1949, majoriti
rakyat memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya,
Johor bernama Mohamad Hamzah. Reka bentuk itu telah dibuat beberapa pindaan dan
telah mendapat pekenan Mesyuarat Majlis Raja-rajya pada 23 Febuari 1950.
Antara perubahan dibuat
ialah menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk
melambangkan warna diraja bagi Raja-Raja Melayu dan juga menambah bucu bintang
kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah
Melayu.
Selanjutnya, pada 19 Mei 1950,
kerajaan British telah meluluskan reka bentuk berdera itu, sama seperti Jalur
Gemilang sekarang, Cuma bezanya pada masa itu hanya terdapat 11 jalur merah
putih yang melambangkan terdapat 11 negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dengan penubuhan
Malaysia pada 1963, bendera itu diubah suai sewajarnya menjadi bendera
Malaysia.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu
dikibarkan secara rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan
Selangor yang dihadiri oleh semua raja-raja Melayu, pembesar Melayu dan wakil
kerajaan British.
Namun, Jalur Gemilang belum lagi
dianggap bendera kepada sebuah negara berdaulat pada ketika itu kerana
Persekutuan Tanah Melayu masih dijajah oleh Brisith. Jalur Gemilang menjadi
saksi kedaulatan negara apabila kali pertama dikibarkan di Dataran Merdeka pada
jam 12.00 malam 31 Ogos 1957 dan serentak dengan itu bendera Union Jack
diturunkan sebagai tanda tamatnya pemerintahan British di negara kita.
Bendera negara berkibar
dengan penuh penghormatan sejak 1950. Hanya pada 1995 barulah ada satu
inisiatif untuk memberi nama khas atau nama rasmi kepadanya. Ilham itu
dicetuskan bekas pegawai kerajaan, Datuk Hashim Mat Dris.
Menurut pendapatnya pada
masa itu, selepas 45 tahun berkibar dengan megah, tetapi tanpa satu nama boleh
dibanggakan. Justeru, sudah tiba masanya bendera Malaysia diberi satu nama
rasmi seperti dimiliki bendera negara tertentu seperti Indonesia yang digelar
‘Sang Saka Merah Putih’, United Kingdom dinamakan ‘Union Jack’, Amerika
Syarikat (Star Spangled Banner) dan bendera Perancis (Tricolor).
Hashim ketika
mengemukakan ilham itu kepada Jabatan Perdana Menteri, berpendapat nama yang
sesuai untuk bendera negara ialah ‘Si Tuah’ sempena nama hulubalang Melayu Hang
Tuah yang berani, gagah perkasa dan setia kepada Raja.
Nama ‘Si Tuah’ juga
melambangkan tuah sebuah negara dikurniakan Tuhan dengan kehidupan aman makmur
dengan pemimpin bijaksana yang memerintah dengan adil dan saksama.
Cadangan Hashim itu
kemudian dibawa kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995, Dr Mahathir bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi
memilih nama sesuai untuk bendera Malaysia. Penyertaan bagi peraduan terbabit
dihadkan kepada pihak tertentu saja iaitu kementerian dan jabatan kerajaan.
Berikutan itu, Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia
ditubuhkan.
Jawatankuasa itu
dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara masa itu, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul
Hamid. Pada mesyuarat 1 April 1996, jawatankuasa itu bersetuju bahawa pemilihan
cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat menerusi peraduan, tetapi
memadai dipilih daripada senarai nama dikemukakan oleh ahli jawatankuasa.
Ini turut dipersetujui
Dr Mahathir. Berikutan itu, nama jawatankuasa ditukar kepada Jawatankuasa Induk
Menamakan Bendera Malaysia. Jawatankuasa itu menimbang sebanyak 75 cadangan
nama.
Selepas penelitian
dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’
dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama itu dipilih kerana ia didapati sesuai
sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu
di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Bagaimanapun, apabila
dikemukakan untuk mendapat persetujuan Kabinet pada 11 September 1996, nama itu
gagal memikat hati Jemaah Menteri. Jemaah Menteri kemudian meminta supaya
cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan Jemaah Menteri itu, Jawatankuasa
Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama
baru.
Dalam mesyuarat pada 2
Jun 1997 dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Halim
Ali, sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Selepas membuat penelitian,
mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan iaitu ‘Jalur
Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’, dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Ahli mesyuarat sepakat
memilih tiga nama itu kerana ia didapati mempunyai ciri emotif yang boleh
menggerakkan semangat patriotisme rakyat serta kesetiaan kepada negara, rangkai
katanya adalah asli dan menggunakan bahasa kebangsaan yang ringkas, menarik dan
mudah dijelaskan maksudnya.
Apabila ketiga-tiga
cadangan nama itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai
1997, Jemaah Menteri bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur
Gemilang’.
Perisytiharan ‘Jalur
Gemilang’ sebagai nama bendera Malaysia dibuat Dr Mahathir di Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur ketika upacara Di Ambang Merdeka sempena Perayaan Hari Kebangsaan
pada 30 Ogos 1997, jam 11.58 malam.
Nama itu dicadangkan
Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
(sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).
Secara ringkasnya,
perkataan ‘Jalur’ dalam nama ‘Jalur Gemilang’ melambangkan jalur pada bendera
menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju serta arah sama diikuti oleh rakyat
negara ini, manakala ‘Gemilang’ melambangkan keadaan bercahaya, terang
benderang dan cemerlang.
Oleh itu, ‘Jalur
Gemilang’ adalah lambang aspirasi rakyat Malaysia dalam mengharungi kemajuan
dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi membina sebuah negara cemerlang,
gemilang dan terbilang.
Itulah sejarah bermulanya Jalur
Gemilang yang menjadi lambang kemegahan negara.
Bendera tidak sekadar sehelai kain yang diwarnakan, tetapi menjadi
lambang yang menunjukkan kedaulatana sesebuah negeri atau negara. Pujangga
berkata: "bendera adalah suatu perkara mudah iaitu tidak lebih daripada
secebis kain berwarna. Namun, kerananya manusia sanggup bermati-matian."
Bendera dikaitkan dengan semangat
dan kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam
peperangan pada zaman dahulu. Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan
berada di bahagian depan pertempuran.
Jika sekiranya pembawa bendera maut
atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil
oleh tentera lain. Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah
kalah.
Malang sekali di kalangan rakyat
yang tidak bertanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang ketika melakukan perkara
tidak bermoral seperti menyertai lumba haram.
Tentulah sedih jika melihat Jalur
Gemilang tidak dihormati. Contohnya apabila bendera dikibarkan dalam keadaan
lusuh warnanya, malah ada yang telah koyak dan sukar dipanggil bendera.
Jalur Gemilang dibiarkan di
kedudukannya sepanjang masa tanpa diturunkan, termasuk waktu malam, hujan dan
panas. Sebab itu keadaan menjadi lusuh dan koyak. Sepatutnya, bendera dinaikkan pada waktu pagi
dan diturunkan pada waktu malam. Jika ada Jalur Gemilang terjatuh, tidak ada
yang mengangkat kembali di tempat sepatutnya.
Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun
1994 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera
dikibarkan dan diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat
biasa dan di sekolah-sekolah mengikut waktu kelas pertama dan menurunkan
selepas kelas terakhir tamat.
Manakala dalam tradisi tentera di
negara kita, Jalur Gemilang dikibarkan mulai pukul 7.00 pagi dan diturunkan
pada pukul 7.00 malam.
Marilah kita bersama-sama memberi
penghormatan sewajarnya terhadap Jalur Gemilang.
No comments:
Post a Comment