Disebabkan
kandungan al-Quran tidak mampu dijelaskan sepenuhnya oleh sesiapa, maka ia
memberi peluang untuk manusia sepanjang masa tidak putus-putus membongkar
segala rahsia yang terkandung di dalamnya.
Semakin
banyak penafsiran dibuat, maka lebih banyak manfaat yang diperoleh melaluinya,
biarpun di atas perkara yang sama. Memang satu perkara yang amat istimewa
apabila satu perkataan atau ayat yang sama di dalam al-Quran ditafsir dalam
makna yang berbeza-beza oleh para ulama.
Perbezaan
itu memberi peluang meningkatkan lagi kelebihan dan kebaikan di sebaliknya. Bagaimanapun,
ini tidak pula bermakna seseorang itu boleh menafsirnya dengan sesuka hati
untuk kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu. Sesungguhnya amat celakalah
sesiapa menggunakan al-Quran dengan niat menjermuskan kepada kesesatan.
Firman
Allah menjelaskan mengenainya dalam surah an-Nahl, ayat 64 bermaksud: “Dan Kami
tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini melainkan agar kamu dapat
menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi
petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
Allah
menegaskan agar manusia sentiasa mengkaji, memahami dan menggunakan segala
anugerahnya untuk kebaikan. Segala apa yang dicipta oleh-Nya dalam keadaan
sempurna dan ini dapat manusia perhatikan melalui pengamatan dan fikiran yang
terbuka.
Biarpun
secara umumnya ilmu yang terkandung dalam al-Quran sudah banyak dikaji oleh
para sainstis, namun masih banyak yang tersembunyi. Al-Quran masih releven dan
akan terus releven sepanjang zaman untuk dijadikan panduan dalam semua bidang,
termasuklah berkaitan sains dan teknologi.
Justeru, al-Quran perlu terus dibaca
dan diulang-ulang bacaannya. Semakin
dibaca dan diulang-ulang, maka semakin banyak kebaikan diperoleh. Menggali
khazanah al-Quran tidak akan habis-habis sampai bila-bila. Selagi dikaji dan
dibongkar rahsia yang terkandung di dalam al-Quran, manusia akan merasakan
betapa besarnya kekuasa Allah dan kerdilnya manusia.
Ayat pertama dibaca oleh Rasulullah
ialah surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhammu yang
menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang
telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.”
Bagaimanapun, sekiranya apa
terkandung di dalam al-Quran tidak diperdulikan, yakni tidak mengikuti apa
disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang, terimalah azab maha pedih. Kehidupan
manusia akan hancur dan sesat tanpa panduan al-Quran.
No comments:
Post a Comment