Biarpun ada pihak cuba melakukan
khianat terhadap al-Quran, namun usaha itu tidak berjaya. Pindaan dan tokok
tambah yang dilakukan segera disedari oleh umat Islam dan segera menghapuskan
kepalsuan yang cuba dicipta oleh musuh Islam itu.
Kekuatan dan keagungan al-Quran
tiada bandinganya. Sesungguhnya, kandungan al-Quran tidak mampu dicipta oleh
manusia. Bahkan, tidak mungkin ada satu ayat ciptaan manusia yang menandingi mana-mana
ayat al-Quran.
Allah telah menegaskan betapa
biarpun manusia berkumpul dan menggabungkan fikiran serta saling membantu, tidak
mungkin manusia dapat melakukannya.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah,
sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran
ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun
sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-Isra,
ayat 88).
Dalam al-Quran mengandungi pelbagai
perkara meliputi semua kehendak dan keperluan manusia berkaitan kepentingan
dunia dan akhirat. Kandungan al-Quran boleh diringkaskan kepada empat perkara
utama.
Pertamanya, berkaitan mengenai hukum
ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji. Keduanya, memperkatakan mengenai
peraturan hidup yang perlu diamalkan oleh manusia seperti mengenai peraturan
jual beli, perkahwinan, budi pekerti, pergaulan jiran tetangga, tepati janji
dan sebagainya.
Ketiganya ialah menceritakan tentang
ilmu sains, perubatan, cakrawala, biologi, kimia dan geografi. Manakala perkara
keempat ialah mengenai sejarah dan tauladan hidup masyarakat terdahulu.
Sesungguhnya apa yang tercatat di
dalam al-Quran adalah lengkap dan memberi manfaat yang besar kepada manusia
sebagai panduan hidup. Semua keperluan
panduan hidup manusia terdapat di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anam
ayat 38 bermaksud: "Tiadalah Kami meninggalkan sesuatu perkara pun dalam
al-Quran."
Menariknya,
perbahasan dan kajian terhadap kandungan al-Quran tidak akan selesai. Ini
membuktikan kehebatan al-Quran Kalam Yang Maha Pencipta. Pemikiran manusia
tidak mampu memahami atau menafsirkannya perkataan demi perkataan atau
ayat-ayatnya dengan sepenuhnya.
Kehebatan kandungan al-Quran
mendorong bukan Islam turut mengkajinya. Semakin banyak penemuan sains berjaya
dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang bukan Islam. Ketika
pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu telah
tercatat di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.
Ketepatan kandungan al-Quran
berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli sains, membuktikan
al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad. Tidak mungkin bagi seorang yang buta
huruf seperti Rasulullah dapat mencipta kandungan al-Quran yang mengandungi
kenyataan-kenyataan berkaitan sains dan teknologi.
Bahkan, tidak munasabah untuk
mengatakan manusia yang hidup lebih 1400 tahun mengetahui tentang penemuan
sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih seperti yang
terdapat pada masa sekarang.
Perkara ini tidak sukar diterima
oleh orang beriman. Allah Maha Pencipta. Dialah mencipta semua makhluk di dunia
ini. Jadi, Dia dapat menceritakan dengan jelas bagaimana proses setiap kejadian
dengan tepat.
Malah
sebahagian kandungan al-Quran yang menyatakan mengenai kejadian alam, merupakan
bukti kewujudan Allah dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad.
Firman
Allah SWT menjelaskan bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka
tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam terbentang luas
ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa
al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum
cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap
sesuatu?” (Surah Fushshilat, ayat 53).
No comments:
Post a Comment