Firman Allah SWT, "Katakanlah:
Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak
benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum
ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang mereka telah
tersesat jauh) dari jalan yang betul." (Surah al-Maidah, ayat 77)
Biarpun kita dituntut meningkatkan
ibadat untuk bekalan hidup di akhirat, namun tidak pula melakukan sesuatu yang
tidak mampu dilakukan.
Daripada Abu Hurairah katanya: “Nabi
SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa
yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah
(agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan
gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah
pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” - (Hadis
riwayat Bukhari)
Tujuan ibadah adalah untuk
mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah
khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak
geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu
bergantung kepada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan
sesuai dengan perintah Allah dan mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah SAW)
Sesuatu ibadah itu hendaklah
dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya.
Maksud ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah
lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan diri
seperti mencari nafkah menyara ahli keluarga.
Perkara itu ternyata bertentangan
dengan kehendak Islam kerana Islam menyuruh manusia berusaha gigih untuk
mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk
bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat.
Oleh itu, mestilah bijak
menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk di
kalangan orang-orang yang rugi. Begitu juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran
Islam yang benar, dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa
disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti dengan hati
penuh ikhlas.
Pendakwah juga dilarang menimbulkan
rasa sukar untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya ketika menjadi imam
dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin
makmun yang ada terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit.
Abu Burdah berkata: “Rasulullah
mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan
janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan
bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan
manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang disampaikan.
Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara yang menyedarkan manusia dan
membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.
Jangan sekali-kali kita memberatkan
dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada
agama dan kebenaran. Sebaliknya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara
berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui
peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.
Firman Allah SWT, "Dan demikian
(pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan
supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi
saksi atas (perbuatan) kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Syeikh Muhammad Mutawalli Al-Sya'rawi
dalam tafsirnya menyebut, ayat ini adalah ingatan Allah SWT bahawa antara
nikmat-Nya ialah menjadikan kita umattan-wasatan iaitu umat pertengahan, adil
dan pilihan. Setiap disyariatkan SWT dikategorikan sebagai nikmat kepada orang
yang beriman.
Ketika kedatangan Islam, orang Yahudi
dikenali sebagai manusia yang sangat rakus dengan kemewahan dunia. Mereka
mengumpul kekayaan dengan cara batil melalui riba dan cara yang haram lainnya.
Orang Nasrani pula memandang kebaikan
itu dengan cara meninggalkan segala bentuk kesenangan dan kekayaan serta
menumpukan sepenuh-nya kepada cara hidup rahib. Islam yang dibawa oleh
Rasulullah SAW menyanggah kedua-dua jalan hidup ini.
Sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya harta ini ibarat buah segar yang manis, maka barang siapa
yang mengambilnya dengan hati yang lapang (tidak rakus dan memaksa orang lain)
maka dia akan diberkati untuknya, dan barang siapa yang mengambilnya dengan
hati yang rakus (memaksa orang lain) maka dia tidak akan diberkati untuknya
ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang, tangan yang di atas lebih
baik daripada tangan yang di bawah." (Riwayat Bukhari)
Sesungguhnya Islam menjadikan
pertengahan ini sebagai keutamaan dalam segala perkara yang berkaitan dengan
agama dan dunia. Dalam urusan ibadah, Islam melarang beribadah secara
berlebihan sehingga sampai ke peringkat memudaratkan diri, manakala dalam
urusan pengurusan kehidupan, dilarang melakukan pembaziran dan penjimatan yang
melampau.
Firman Allah SWT, "Dan juga
mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya,
tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan
mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil)
itu." (Surah al- Furqan, ayat 67)
Kesederhanaan dan pertengahan juga
memberi maksud keadilan seperti sabda Rasulullah SAW, "(Pertengahan itu
keadilan, kami jadikan kamu umat pertengahan)." (Riwayat Ahmad)
Dalam menjalan hubungan dengan bukan
Islam, nilai keadilan ini tetap menjadi keutamaan dan dipertahankan.
Kesederhanaan dapat mengelak berlaku perbuatan ekstremis dan penindasan.
Firman Allah SWT, "Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil."
(Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Inti pati kesederhanaan ajaran Islam
ini diungkapkan begitu indah oleh sahabat bernama Rubie bin Amir yang ditanya
panglima perang Parsi ketika itu, Rostum, tujuan utama kedatangan beliau.
Rubie menjawab: "Allah yang
mengutuskan kami untuk kami keluarkan sesiapa yang dikehendaki Allah daripada
perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada
kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan hidup dunia
kepada keluasan hidup dunia dan akhirat."
Pertengahan serta kesederhanaan Islam
meliputi hubungan antara agama dan dunia, antara dunia dan akhirat, antara
pemimpin dan rakyat, antara manusia dan alam, antara kebenaran dan kekuatan
serta antara nas agama dan pemikiran manusia. Allah yang menurunkan al-Quran
maka Dia juga yang mengurniakan al hikmah.
Firman Allah SWT, "Allah telah
menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan
telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya dan adalah kurnia Allah
yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar." (Surah an-Nisa, ayat 113)
Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi
ke atas umatnya manakala umat ini juga akan ditanya apakah mereka menyampaikan
ajaran Islam kepada orang lain kerana seluruh umat wajib menyampaikan serta
menzahirkan keindahan dan keadilan Islam kepada semua umat manusia.
No comments:
Post a Comment