Saya bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS)
lebih 37 tahun, iaitu dari tahun 1978 hinggalah tahun 2015.
Kemudian saya memilih untuk bersama Parti
Amanah Negara (AMANAH) yang kita semua tahu, AMANAH lahir dari pergolakan yang
berlaku dalam PAS.
Selama berada dalam PAS, saya diajar oleh
ulama PAS bahawa perbezaan antara PAS dan UMNO bukan setakat perbezaan politik
tetapi ianya telah sampai ke peringkat perbezaan akidah.
Saya yang begitu cetek dalam pengajian
agama telah mempercayai bulat-bulat hujah yang digunakan oleh ulama PAS ketika
mengkafirkan UMNO. Pada waktu itu saya merasakan tiada hujah lain yang boleh
mengatasi hujah ulama PAS sehingga hubungan saya dengan ahli keluarga saya yang
pro-UMNO menjadi renggang.
Saya masih ingat, ketika ke Terengganu
untuk berceramah atau menghadiri program PAS, saya hanya bersembahyang di
Masjid Rusila atau Masjid Batu Enam sahaja kerana bersembahyang di belakang
imam yang pro UMNO adalah tidak sah dan haram hukumnya.
Penglibatan saya dalam politik bermula dari
era Pemuda, kemudian ke Jawatankuasa PAS Pusat sebagai Naib Presiden dan
Timbalan Presiden PAS. Dahulu, dalam pemilihan PAS, selalunya yang akan
mendapatkan 10 undi tertinggi adalah dari kalangan aktivis PAS yang paling kuat
menentang UMNO, samada yang berlatar belakang professional ataupun golongan ustaz-ustaz.
Yang selalu dapat undian tertinggi adalah seperti Dr Hatta Ramli, Arwah
Salahudin Ayob, Ustaz Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Khalid Samad, Dr Dzul dan
lain-lain lagi.
Tetapi pada tahun 2013 – 2014, kita sudah
dapat mengesan pertemuan sulit beberapa Ustaz PAS dengan pihak UMNO sehinggalah
ada yang mengaku telah menerima wang daripada UMNO.
Maka selepas itu berlakulah pertembungan
fikrah dalam PAS, yang dipanggil kumpulan ustaz dengan kumpulan
aktivis/professional PAS. Dalam Muktamar ke 15 PAS, berlaku ‘swing vote’ di
mana sekumpulan aktivis dan professional dikalahkan ‘setandan’ oleh ustaz-ustaz
PAS yang pro-UMNO.
Kalah menang dalam pemilihan adalah perkara
biasa tetapi belum pernah berlaku penolakan secara berkumpulan seperti Muktamar
di Kuala Selangor itu. Pada hari yang sama juga PAS telah memutuskan hubungan
dengan DAP.
Saya nak sebut di sini, ahli-ahli AMANAH
atau umat Islam jangan gusar dan jangan rasa gelisah di atas tuduhan PAS sebab
tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan oleh PAS hanyalah bersifat semasa dan
untuk kepentingan politiknya saja. Kami yang telah tertipu, kononnya perbezaan
dengan UMNO itu adalah perbezaan akidah tetapi ternyata ia adalah permainan
untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada PAS.
Kita dapat lihat selepas DAP diceraikan dan
PAS keluar dari Pakatan Rakyat, pada waktu itu, PAS terus kekal dengan kerajaan
Pakatan Rakyat di Selangor walaupun DAP berada di dalamnya. Ada pula hujah lain
digunakan untuk menghalalkan tindakan mereka supaya terus berada dalam
pemerintahan di Negeri Selangor.
Tak lama kemudian, PAS berpisah pula dengan
Keadilan, dengan alasan yang begitu rapuh dan tidak langsung memberi hujah,
kenapa perlu berpisah dengan Keadilan.
Paling mengejutkan, selepas PAS berpisah
dengan DAP dan Keadilan, PAS bersama pula dengan UMNO di dalam Muafakat
Nasional. Pemimpin PAS mengatakan hubungan baru PAS-UMNO ini adalah anugerah
Allah.
Ertinya selama ini, istilah UMNO itu kafir,
sembahyang 2 imam dan sebagainya sehingga ada kes di bawa ke mahkamah hanyalah
istilah semasa untuk mengaut sokongan politik, bukannya pegangan akidah.
Justeru ahli AMANAH dan umat Islam di
negara ini, janganlah terpedaya lagi dengan permainan PAS – kerana semua hujah
mereka hanya sandiwara dan boleh berubah pada bila-bila masa.
Misalnya, bila nak bekerjasama dengan DAP,
PAS gunakan formula ‘agree to disagree’. Tetapi bila dah berpisah dengan DAP,
timbullah semula dakwaan bahawa DAP itu komunis, DAP nak tubuh negara Kristian
dan sebagainya. Inilah propaganda yang dimainkan PAS, terutamanya pada waktu
ini.
Sedangkan dahulu waktu bersama DAP,
Presiden PAS sanggup turun berkempen di Teluk Intan untuk memenangkan wakil
DAP. Tetapi bila Presiden PAS bersama MCA, beliau turun pula berkempen untuk
calon bukan Islam di Tanjung Piai, Johor dengan pantunnya yang agak terkenal,
yang berbunyi,
“Mari kita pergi ke Dumai,
pergi ke Dumai dengan kereta,
Keluarlah mengundi beramai ramai,
Undi MCA, kawan kita.
Banyak sudah bukti bahawa fatwa PAS boleh
diubah sesuka hati demi untuk menghalalkan sesuatu tindakannya. Misalnya bila
nak larang ahli PAS turun berdemontrasi, mereka guna dalil - jangan campakkan
dirimu ke dalam kebinasaan. Tetapi bila nak kerah ahli PAS untuk turun
berdemontrasi, mereka guna pula dalil - berjuanglah ke jalan Allah dengan harta
dan nyawamu. Amalan mengeluarkan fatwa sesuka hati inilah yang akan merosakkan
negara sepertimana yang Tan Sri P Ramlee pertontonkan dalam filem Musang
Berjanggut dulu.
Berdasarkan semua insiden ini, maka
bolehlah kita simpulkan bahawa; segala tuduhan dan persepsi yang cuba dimainkan
oleh PAS hanyalah suatu sandiwara politik. Fatwa politik mereka boleh berubah
bila-bila masa yang mereka suka.
Begitulah juga bila hari ini PAS menyatakan
sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak, ini hanyalah sandiwara untuk menarik
sokongan Melayu. Tidak mustahil suatu hari nanti, PAS akan membuang Datuk Seri
Najib jika beliau tidak lagi menguntungkan politik PAS.
Akhir kata saya ingin menyeru kepada ahli
AMANAH dan seluruh umat Islam di negara ini untuk terus berpadu tenaga
memperjuangkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua, bersatu
hati membela golongan yang tertindas serta bersama menolak politik kebencian.
Usahlah terpedaya dan termakan dengan
sandiwara semasa PAS.
Mohamad bin Sabu,
Presiden Parti Amanah Negara.
Rabu, 8 Januari 2025
“Mari kita pergi ke Dumai,
pergi ke Dumai dengan kereta,
Keluarlah mengundi beramai ramai,
Undi MCA, kawan kita.
Presiden Parti Amanah Negara.
Rabu, 8 Januari 2025
No comments:
Post a Comment