Allah
tidak menentukan jenis pekerjaan yang harus dilakukan oleh seseorang.
Terserahlah kepada kemampuan dan minat masing-masing. Sesiapa yang tekun
bekerja, pastinya dia berjaya mendapat hasil yang baik.
Apa dilakukan Rasulullah dengan cara menunjuk jalan usaha yang perlu dilakukan oleh orang Ansar itu adalah satu bentuk bantuan jangka panjang. Jika orang Ansar itu diberikan sedikit makanan, sudah pasti ia sekadar dapat mengisi perut untuk satu hari saja. Pada hari lain dia akan meminta sedekah lagi dan begitulah seterusnya.
Tetapi, Rasulullah telah mengajarnya cara bagaimana berusaha sendiri untuk mendapat rezeki. Selagi dia gigih berusaha, rezekinya akan ditunaikan oleh Allah. Rezeki Allah tidak putus-putus disediakan kepada sesiapa yang berusaha mencarinya.
Hal ini bertepatan dengan pepatah, jika ingin memberikan makanan kepada seseorang, jangan diberikan ikan kepadanya. Sebaliknya, berikan dia pancing dan ajarkan dia cara bagaimana untuk mendapatkan bekalan ikan yang berterusan baginya.
Sumber alam dan aktiviti kehidupan manusia memberi rezeki yang mencukupi untuk semua orang. Aktiviti eknomi bertambah menjadi gandaan apabila semakin banyak perkara yang dilakukan dalam masyarakat.
Melakukan kerja dikira ibadat selagi tidak melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama. Pekerjaan yang disertakan perbuatan haram seperti menipu, rasuah dan curi tulang, maka kerja itu tidak dianggap ibadat. Perbuatan itu dosa.
Dalam Islam tidak ada istilah pengangguran. Dunia yang terbentang luas ini masih memerlukan tenaga manusia untuk dimakmurkan. Setiap aktiviti kehidupan yang dilakukan memberi sumbangan kebaikan kepada diri sendiri, masyarakat dan alam keseluruhan.
Sesiapa individu mesti berusaha sendiri mencari rezeki dengan khudrat yang dikurniakan Allah. Sesiapa tidak berusaha termasuk golongan yang tidak mahu bersyukur dengan peluang yang diberikan.
Individu tidak mahu berkerja mempersia-siakan nikmat fikiran, pancaindera yang sempurna, tenaga, masa, kemahiran dan peluang yang dianugerahkan Allah. Cuba fikirkan, apa nasib kita jika mana-mana satu atau semua itu anugerah itu ditarik balik.
Mereka yang sempurna sepatutnya merasa malu dan tercabar dengan keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU) yang boleh berdikari mencari rezeki sehingga mencapai tahap kehidupan yang lebih baik berbanding orang yang normal.
Rezeki berada di mana-mana asalkan berusaha mencarinya. Alasan tidak mahu bekerja disebabkan tiada peluang pekerjaan, sebenarnya sekadar satu alasan bagi orang yang terlalu memilih pekerjaan.
Amat mendukacitakan, banyak individu yang tidak mahu berkerja secara halal, tetapi tergamak melakukan perbuatan mencuri, memeras ugut, ragut dan mengedar dadah. Fenomena itu menyebabkan keadaan masyarakat tidak selamat dan bimbang berdepan situasi itu pada diri sendiri.
Melakukan kerja haram sebenarnya lebih sukar berbanding daripada melakukan pekerjaan halal. Perasaan sentiasa dihimpit perasaan takut dan terdedah kepada keadaan bahaya. Jadi, mengapa melakukan perbuatan ditegah yang lebih mendatangkan masalah kepada diri sendiri, sedangkan ada peluang lain yang boleh dilakukan untuk mencari rezeki halal.
Setiap orang perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib mana-mana individu. Setiap orang perlu berusaha sendiri untuk mencari kehidupan yang terbaik.
Sebarang usaha untuk berubah bergantung kepada apa yang diusahakan. Jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut cara yang betul, insyaalah kejayaan akan dicapai seperti yang diharapkan.
Semangat dan tekad untuk berjaya dan mencapai apa yang lebih berbanding apa yang dimiliki hari ini mesti disemai di dalam hati setiap Muslim. Apa yang dilakukan bukan semata-mata untuk diri sendiri, tetapi memberi kebaikan kepada keluarga, masyarakat, negara dan sudah pastinya agama Islam.
Menurut Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi, bahawa perkara yang halal itu ialah setiap perkara yang diharuskan dan diberi keizinan oleh syarak untuk melakukannya. Manakala perkara yang haram pula ialah yang ditegah oleh syarak sekira-kira ia akan mendapat balasan buruk di akhirat, bahkan ada kalanya di dunia ini lagi.
No comments:
Post a Comment