Suatu
masa dulu, Islam masyhur dan gemilang. Dalam kegemilangan itu orang Islam
mendahului dalam semua bidang, ilmu dan amalan. Sama ada dalam hal berkaitan
kesusasteraan, sains, falsafah, ketenteraan, teknologi dan sebagainya.
Pendek
kata, Islam telah menjadi tamadun yang mendahului tamadun lain. Tamadun Islam
telah mematahkan keunggulan tamadun Rom, contohnya. Islam telah menguasai
semuanya. Namun, secara berdikit, kegemilangan itu meruntuh.
Kemudian
kita saksikan pengambilalihan kegemilangan Islam oleh kuasa imperialisme Barat.
Negara Islam dijajah dan agama Islam dipinggirkan.
Setelah
itu muncul pula penentangan terhadap imperialisme Barat dan terserlahlah
perjuangan menentang kuasa Barat dan gerakan mencapai kemerdekaan.
Setelah
berdekad perjuangan itu, banyak negara Islam telah mencapai kemerdekaan.
Walaupun merdeka, Islam masih di takuk lama.
Keadaan
ini timbul akibat daripada fenomena dan polemik berkaitan ‘neo-imperial
policies’ yang bukan saja mengawal, tetapi menggugat Islam.
Keadaan
ini berterusan sehingga kini. Apa yang pasti kini ialah, kegemilangan Islam
hanya menjadi sebahagian daripada sejarah dunia.
Kita
perlu bersatu untuk Islam kembali utuh dan berkuasa. Malangnya sehingga ke hari
ini kita melihat pelbagai perkara yang berpotensi menjatuhkan Islam.
Sesama
umat Islam lebih banyak memikirkan bagaimana hendak menjatuhkan sesama sendiri.
Lihatlah apa yang berlaku di luar negara dan tidak terkecuali di negara
kita.
Demi
kuasa, sesama Islam berpecah belah. Untungnya ialah penganut agama lain.
Bagi
mengekalkan kedudukan Islam di negara ini kita perlukannya bersemi dalam
peruntukan Perlembagaan.
Kita
juga perlu tambahkan bilangan mereka yang boleh menjaga kedudukan Islam. Kita
perlu tingkatkan pencapaian mereka yang berkebolehan untuk mendepani masalah
semasa berkaitan Islam.
Kita
perlukan intelektual Islam dalam bidang teologi, falsafah, sains, teknologi dan
semuanya. Kita perlukan kumpulan orang Islam yang berilmu dan berupaya
menggunakan ilmu itu bagi manfaat Islam.
Intelektual
Islam di sini bukan hanya merujuk kepada susunan kertas ijazah, atau kelulusan
akademik. Kita benar-benar memerlukan ilmuwan yang kreatif dan mampu mencipta
strategi untuk kebaikan Islam.
Bagaimanakah
semua ini dapat kita capai. Tidak lain dan tidak bukan, perkara utama dan
segera yang perlu dilakukan ialah kita perlukan gabungan dan kesatuan yang
mantap dalam kalangan umat Islam.
Kita
tidak boleh menjadikan perbezaan antara kita untuk memburukkan Islam. Bagi
mencapai kejayaan dan keserasian, kita harus berusaha mencari persamaan dan
merapatkan jurang perbezaan, bukan menuding jari atau mencari alasan untuk
bertelagah.
Untuk
semua orang Islam di negara ini, kita harus bergerak di atas semangat bahawa
apa juga langkah dan cara kita menjalankan aktiviti, peranan dan sumbangan, ia
hendaklah ditujukan untuk manfaat dan kepentingan Islam.
Walaupun
banyak gerakan Islam yang telah bersatu dan berpadu, kita perlu perkukuhkannya
lagi.
Kalaupun
kita tidak menyertai sebarang persatuan, sebagai seorang Islam kita harus terus
menerus menyumbang dalam kapasiti masing-masing dan setiap orang hendaklah
sentiasa menghargai dan menghormati antara satu sama lain.
Walau
apapun tindakan dan perbezaan antara kita, tujuan kita adalah sama, iaitu untuk
Islam.
Kita
tidak boleh membuat Islam dipandang hina dan menjadikannya terancam. Kita harus
menjadikan Islam itu agama yang tinggi dan yang lebih tinggi tanpa menganiaya
atau meremehkan agama lain kerana Islam tidak pernah mengajar kita begitu.
Kita
perlu bersatu dan menyumbang kepada kemajuan Islam tidak kira biarpun sekecil
mana. Setiap orang ada kemampuan masing-masing.
No comments:
Post a Comment