Setiap kali musim hujan, satu perkara yang
perlu diingatkan kepada semua ialah soal keselamatan diri dan keluarga.
Keselamatan harta benda seperti kenderaan, peralatan rumah, haiwan ternakan dan
hasil tanaman juga perlu diambil kira.
Umum mengetahui, setiap tahun sentiasa ada
yang mangsa mati lemas pada musim hujan. Banyak kes kematian melibatkan
kanak-kanak ketika bermain air pada musim banjir.
Kematian sedemikian bukan berpunca bencana
banjir, tetapi satu kecuaian yang sebenarnya boleh dielakkan.
Korban bermain air pada musim hujan dapat
dielakkan jika semua pihak mengambil langkah keselamatan dan berhati-hati. Mangsa
mati lemas bermain air setiap tahun kebanyakkan terdiri kanak-kanak dan
remaja.
Jelas sekali, perkara ini berlaku akibat
kecuaian ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang soal kecelakaan yang
mungkin berlaku terhadap anak mereka semasa musim hujan. Ibu bapa tidak risau
atau mengambil langkah pencegahan untuk mengelak anak menjadi mangsa lemas.
Banyak ibu bapa menganggap musim hujan sama
seperti hari-hari lain. Anak dibiarkan bebas bergerak dan bermain seperti
biasa. Ibu bapa tidak ambil kisah tentang adanya kawasan mudah ditakungi air di
sekeliling atau berhampiran tempat tinggal.
Air mudah bertakung di kawasan paya, parit,
longkang, sawah dan lubang yang digali di tapak pembinaan. Tempat-tempat
beginilah selalu menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain yang berakhir dengan
tragedi.
Boleh dikatakan semua kanak-kanak suka
bermain air. Kalau dibiarkan tanpa kawalan, mereka akan bermain sepuas-puasnya
sehingga lupa makan dan minum. Mereka menggunakan sepenuhnya peluang bermain
air hujan yang jarang-jarang berlaku.
Kanak-kanak memang tidak tahu bahaya yang
mungkin menimpa mereka ketika bermain air hujan. Malah, mereka tidak tahu apa
itu mati lemas.
Bagi yang sudah memasuki alam remaja dan
mengetahui erti mati lemas, mereka mudah lupa apabila asyik bermain tanpa
ditegah atau diingatkan tentang bahayanya.
Sebab itu amat penting ibu bapa atau orang
dewasa mengambil tanggungjawab melarang kanak-kanak daripada bermain hujan. Ibu
bapa tidak sepatutnya membiarkan anak bebas bermain air hujan dengan apa alasan
sekalipun.
No comments:
Post a Comment