Tuesday 3 January 2023

TELONG DESTINASI PELANCONGAN DI BACHOK

 
Telong adalah satu nama kampung, mukim dan daerah di jajahan Bachok. Satu nama digunakan oleh tiga status pentadbiran iaitu Kampung Telong, Mukim Telong dan Daerah Telong.
 
Kini daerah Telong sedang berubah corak ke sebuah daerah yang lebih pesat membangun dengan pertumbuhan projek-projek kerajaan dan juga swasta, jika dibandingkan dengan daerah lain di Jajahan Bachok. 

Daerah Telong mempunyai masa depan yang lebih cerah dan lebih maju apabila terlaksananya projek pembangunan di Tok Bali di Jajahan Pasir Putih dan pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Tanggok daerah Melawi. Kedua-dua projek itu biarpun tidak terletak di Daerah Telong, tetapi ia menjadi pemangkin kepada pembangunan di daerah ini.

Daerah Telong merupakan sebuah daerah di selatan Jajahan Bachok, bersempadan dengan Jajahan Pasir Putih di sebelah selatan, Laut Cina Selatan di bahagian timurnya, di utaranya Daerah Melawi dan di bahagian baratnya Daerah Gunong. Daerah ini mempunyai persisiran pantai sepanjang 7 km.
 
Daerah Telong di bawah pentadbiran Jajahan Bachok bermula tahun 1940. Sebelum itu Daerah Telong berada di bawah pentadbiran Jajahan Pasir Putih.
 
Sebahagian besar tanah di Daerah Telong adalah kawasan ditumbuhi pokok-pokok gelang. Terdapat tanah seluas 1,228 ekar dijadikan hutan simpan kerajaan di Mukim Kandis dan 300 ekar dijadika padang ragut di Mukim Lubok Tembesu.

Kerana mempunyai kawasan pantai yang panjang maka perkerjaan utama penduduk kawasan ini adalah nelayan, namun dengan kemasukan perusahaan tembakau pada tahun 70 an, boleh dikatakan 90 peratus penduduk telah menjadi petani, di samping menjadi nelayan sebagai perkerjaan sampingan.
 
Apabila Projek Kemasin Semerak siap pada tahun 2000 di mana kawasan yang berpaya telah kering dan dapat memperbagaikan tanaman seperti padi dan juga tanaman kontang serta sayuran dapat ditanam.

Bersesuaian dengan kawasan kedudukan geografi Daerah Telong yang memanjang sepanjang pantai, maka terdapat beberapa buah chalet atau resort yang dibangunkan untuk menarik pelancong dari dalam negeri dan juga luar negara.
 
Di antara chalet atau resort yang terdapat di Daerah Telong ialah Sudara Beach Resort, Villa Daniala Resort, Pantai Sri Telong Resort, Pantai Sri Aur Resort dan Pantai Sri Permai Resort.

Satu lagi mercu tanda di Daerah Telong ialah Pusat Pengajian Pondok (Pondok Moden) yang terletak di Kampung Kandis. Pelajarnya bukan sahaja dari Kelantan, tetapi juga luar Kelantan dan luar negara. Lulusan pondok ini berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah seperti ke Mesir, lain-lain negeri Timur tengah dan juga ke Indonesia serta ke Thailand.

No comments:

Post a Comment