Kita tidak selama-lamanya berada pada satu
pekerjaan atau kedudukan dalam sesuatu jawatan. Setiap perkara yang kita
lakukan ada had atau batasnya. Akan tiba masa kita melepaskan tugas dan jawatan
kepada orang lain.
Biarpun kita masih ingin meneruskan tugas,
memegang jawatan atau melakukan aktiviti tersebut, kita kena sedar bahawa tidak
mungkin kita mampu melakukan selama-lamanya.
Bahkan, insaflah kemungkinan lebih lama
kita meneruskannya, lebih banyak keburukan akan berlaku. Jadi, sebelum ia
merosakkan segala-galanya apa yang telah kita bina selama ini, eloklah bersara.
Bersara adalah berhenti bekerja kerana
telah sampai tempoh masa perkhidmatan atau usia bersara wajib. Bersara juga bererti
berhenti melakukan sesuatu aktiviti yang dilakukan sebelum itu seperti
bersukan, hobi, berpersatuan dan sebagainya.
Bersara daripada melakukan perkara buruk
adalah persaraan paling bererti. Berubah daripada perkara buruk kepada
kehidupan lebih baik.
Persaraan adalah salah satu peristiwa
penting dalam kehidupan setiap orang. Ia menandakan bahawa perjalanan sebelum ini
perlu ditamatkan. Berbanggalah dengan apa yang telah kita lakukan sebelum ini.
Bersara bukan pengakhiran kehidupan.
Bahkan, ia satu permulaan kepada sesuatu yang baharu atau meneruskan apa-apa
yang sebelum ini tidak dapat dilakukan sepenuhnya disebabkan beban tugas
sebelum bersara.
Nikmati, kehidupan selepas bersara dengan ceria
dan bahagia.
No comments:
Post a Comment