Remaja pada era 60-an sehingga 90-an menjadikan majalah dan akhbar sebagai
medium 'iklan' untuk mencari kenalan, selain ada juga ruangan di radio. Ia menjadi sebahagian hobi atau mengisi masa lapang.
Memandangkan ramai yang
meminati untuk berkenalan, kebanyakan majalah remaja 'wajib' ada ruangan
berkenalan. Kerana sambutan hangat, ada majalah yang menyediakan sehingga dua
muka surat khusus menyiarkan gambar untuk berkenalan.
Caranya, sesiapa ingin
mencari kenalan, akan menghantar gambar berserta sedikit mengenai biodata
seperti nama, umur, alamat, kegemaran, pekerjaan dan sebagainya. Selain itu,
ada juga pihak editor mensyaratkan perlu menyertakan karya seperti pantun,
puisi atau madah.
Pembaca yang mencari
kenalan akan mengutuskan surat kepada bakal kenalan. Dari situ mereka mula
berutus surat. Maka jadilah mereka 'pen pal' atau 'sahabat pena'. Ketika itu,
surat menjadi penghubung sahabat pena. Kehadiran posmen ke rumah memang
dinanti-nanti.
Ketika itu kebanyakan
alamat surat menyurat menggunakan alamat kedai kopi, balai raya dan rumah ketua
kampung. Maka itu berlonggok-longgoklah surat dikumpulkan setempat. Setiap hari
penanti surat dari sahabat pena akan mencari atau menanti surat masing-masing.
Kedatangan surat dari
sahabat pena memang dinanti-nantikan. Hubungan mereka ada yang sebagai adik dan
kakak atau abang angkat, tidak kurang juga yang menjadi pasangan kekasih
setelah sekian lama berkenalan. Inilah yang dikatakan surat penuh bedak dan
kertas warna warni. Dan hubungan itu berakhir di alam perkahwinan.
No comments:
Post a Comment