Sunday, 5 November 2023

PENGAJARAN DARIPADA SURAH AL-HUJURAT

 
Memelihara keharmonian pergaulan dan berinteraksi sesama insan terutama dalam masyarakat majmuk perlukan formula efektif. Formula efektif ini atau landasan yang boleh dijadikan panduan dalam proses mengembalikan kekeruhan ialah al-Quran.  
 
Formula itu ada dalam al-Quran antaranya surah al-Hujurat. Banyak ayat dalam surah itu menyentuh adat sopan santun dan etika pergaulan orang terhormat.  
 
Dinamakan al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, sebab diturunkan ketika ada di kalangan sahabat memanggil Nabi Muhammad SAW yang sedang berehat di bilik isterinya. Mereka memanggil dengan cara kurang sopan dan keadaan demikian menunjukkan sifat kurang hormat serta mengganggu ketenteraman Baginda.  
 
Ayat ini mencela sahabat berkenaan sekali gus mengajar cara yang sebenarnya. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memanggil kamu dari luar bilikmu kebanyakan mereka tidak mengerti." – (Surah al-Hujurat, ayat 4)  
 
Surah al-Hujurat mengandungi 18 ayat mendidik supaya hormat dan sopan santun terhadap Rasulullah SAW ketika hidup dan sesudah wafatnya. Perihal sopan santun bukan setakat kepada Rasulullah SAW, malah sesama Muslim dan bukan Muslim.  
 
Cantiknya ayat ini menerangkan hikmah Allah menciptakan manusia berbangsa dan bersuku supaya saling kenal mengenal. Taraf setiap insan ciptaan-Nya adalah sama saja dan yang membezakan ialah ketakwaan kepada Allah.  
 
Justeru jangan terpesona dengan urusan bangsa dan suku kaum kerana ini akan menimbulkan permusuhan serta persengketaan. Seruan "wahai orang yang beriman" dimulakan berulang kali, menjadi bukti yang harus direnungkan bahawa antara iman dengan sopan santun dalam pergaulan tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu.  
 
Orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul, tidak akan tergamak mendahulukan fikiran serta pendapatnya sendiri dalam hal berkenaan hukum hakam agama sebelum terlebih dulu menilik, memandang dan memperhatikan firman Allah dan sabda Rasul.  
 
Begitulah sifat orang beriman dan bertakwa yang sangat berhati-hati dalam segala gerak langkah, sehingga fatwa yang dikeluarkan dapat dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Orang mukmin dilarang bersuara keras apabila berbicara sesama sendiri di hadapan Rasulullah SAW, apatah lagi apabila berbicara dengan Baginda. Bertengkar dengan suara keras di hadapan kuburan Nabi SAW juga tidak wajar.  
 
Surah ini memberi keterangan mengenai nilai iman iaitu seseorang yang didatangkan penderitaan ke atas dirinya baik daripada segi harta benda, tenaga dan sebagainya. Mereka mengharunginya dengan reda dan pasrah tanpa ragu-ragu terhadap Allah.
 
Mereka itulah orang yang jujur dan layak mengaku orang beriman. Pengetahuan manusia amat terbatas. Janganlah merasa diri penting serta bangga sebaliknya bersyukur dan meneguhkan iman dengan jujur.
 
Surah al-Hujurat memberi peringatan dan mendidik manusia supaya ikhlas beramal serta menginsafi bahawa Allah mengetahui apa yang dizahirkan dan disembunyikan untuk menguatkan iman, meyakinkan hati dengan takwa.

Gambar sarang kelulut sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment