Pada masa dahulu, proses membajak atau
dipanggil menggala dilakukan secara tradisional. Kerbau atau lembu digunakan
untuk membantu proses menggala. Kerbau atau lembu dijadikan
'jentera' untuk menarik berberapa peralatan yang akan membajak tanah. Lembu
atau kerbau pada masa dahulu memang telah dilatih lasak untuk melaksanakan
tugasan itu dan 'mahir' melaksanakan tugasan melalui 'arahan' dibuat oleh
tuannya.
Peralatan digunakan untuk membajak tanah
terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu igu, nanggal, sepak dan pahar. Igu
adalah kayu yang diletakkan di atas bahagian tengkuk lembu atau kerbau.
Semasa proses membajak digunakan lembu atau
kerbau yang digunakan sama ada seekor atau dua ekor serentak. Jadi, bentuk igu
bergantung sama ada untuk seekor atau dua ekor. Igu pula akan disambungkan dengan nanggal
yang biasanya dibuat menggunakan batang kayu panjang dari jenis pokok halban
atau leban.
Batang nanggal itu pula akan dipasang sepak
yang pada bahagian hujung di bahagian bawah akan dipasang dengan pahar atau
pai, yakni sejenis mata yang diperbuat daripada besi.
Pahar atau mata bajak itulah yang akan
'mengerat' dan membalik tanah apabila ditarik oleh lembu atau kerbau.
Tanah yang dikerat dan dibalikkan
menggunakan pahar masih tidak sesuai untuk dijadikan tapak menabur atau
menyemai benih padi. Tanah belum lembut dan rata sepenuhnya. Jadi proses
seterusnya ialah menggerat tanah dan gerat yang berbentuk sisir.
Gerat akan disambungkan dengan igu dan
ditarik oleh lembu atau kerbau seperti proses pertama.
Proses menggerat akan memecahkan tanah
kepada lebih kecil dan meratakan tanah. Selain itu, ia juga akan mengasingkan
rumput dan pokok lain yang perlu dibuang sebelum proses menabur benih.
Proses menghancurkan juga masa untuk
menangkap ikan yang selama ini 'menanam' atau bersembunyi dalam tanah lumpur.
Orang yang melakukan kerja menggerap akan berdiri di atas penggerap sebagai
penggerap.
Apabila tanah lumpur hancur disisir oleh
penggerap, ikan yang terperangkap di dalam selut akan tumbul. Yang akan
menangkap ikan itu biasanya kanak-kanak yang akan mengikut di belakang
penggerap. Biasanya ikan puyu dan haruan banyak diperoleh.
Apabila proses penyediaan tanah sawah
selesai, barulah benih padi akan ditabur. Pada masa dahulu, tapak benih ini
ditabur dengan benih untuk benih tumbuh rapat-rapat kerana selepas itu ia akan
dipindahkan ke tapak lain.
Tetapi sekarang ini kaedah tabur terus
digunakan di mana benih yang tumbuh akan terus dibiarkan tumbuh membesar
sehingga mengeluarkan buah.
Kaedah tabur terus memudahkan kerja
penanaman dan padi dapat membesar dengan lebih cepat. Selain kaedah tebur terus
yang diamalkan sekarang memudahkan petani, penggunaan jentera pembajak moden
juga mengurangkan kerja kaedah tradisional untuk membajak.
Sekarang ini segalanya mudah dan cepat.
Jadi, sepatutnya tiada alasan untuk membiarkan sawah terbiar tanpa diusahakan
dengan tanaman.
No comments:
Post a Comment