Thursday, 12 November 2026

BUKIT LARUT TARIK BANYAK PENGUNJUNG

 
Bukit Larut tarik banyak pengunjung.

Bukit Larut bukan sahaja terkenal dari segi latar belakang sejarahnya, tetapi semakin menarik minat pengunjung yang menggemari suasana tenang dan damai dengan pemandangan indah dan suhu pergunungan yang sentiasa segar, nyaman dan berkabus.

Bagi penggemar alam semula jadi, Bukit Larut merupakan tempat yang tenang, jauh dari hiruk pikuk dan kesibukan serta kaya dengan flora dan fauna alam semula jadi.

Aktiviti memerhati burung juga semakin berkembang kerana Bukit Larut dipercayai menjadi habitat kepada kira-kira 270 spesis burung termasuk burung-burung tempatan dan burung-burung hijrah.

Hutan di sekitar Bukit Larut juga dihuni oleh tidak kurang dari lima spesis burung enggang di antaranya Bushy-crested hornbill, Rhinoceros hornbill, White-crowned hornbill, Writhed hornbill, Wrinkled hornbill dan sebagainya.

Jelas bahawa fungsi Bukit Larut bukan hanya tertumpu sebagai lokasi percutian dan tempat istirehat semata-mata. Kawasan itu turut menjadi lokasi stesen telekomunikasi dan tempat untuk mengukur tahap hujan.

Bukit Larut menjadi kawasan tadahan hujan untuk bekalan air bersih dan semulajadi kepada seluruh penduduk Taiping dan kawasan sekitar.

Di samping itu juga, Bukit Larut yang menjadi rumah kepada ribuan spesies flora dan fauna dilindungi sepenuhnya.

Kawasan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal sejak tahun 1910 dan diurus tadbir selaras dengan Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Semoga Bukit Larut terus menjadi destinasi pelancongan yang unik dan tersendiri serta tidak diganggu dengan pembangunan yang boleh merosakkan sistem ekologi, keaslian alam semula jadi dan keunikan geografinya.

Dengan kawasan yang cukup indah, semula jadi dan berbukit bukau menjadikan Bukit Larut sebagai penempatan kepada pelbagai spesis flora dan fauna serta tumpuan lokasi bagi penggemar aktiviti melihat burung di sepanjang jejak Gunung Hijau ke arah puncak Bukit Larut.

No comments:

Post a Comment