Ayat
ini bukan calang-calang sifatnya. Bagi yang mendalami Bahasa Arab, mereka akan
faham aspek sastera dan tata bahasa yang digunakan Allah dalam ayat ini
mengandungi maksud pengukuhan berganda (Taukid). Walaupun ringkas, ayat ini
menegaskan secara tuntas bahawa Allah sendiri menjamin penjagaan al-Quran
daripada sebarang penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Taurat, Zabur dan
Injil hanya kekal namanya sahaja dan tidak pada isinya. Al-Quran pula kekal
pada nama dan isinya.
Ketiga-tiga
perkara di atas tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan Allah
yang menjamin sendiri penjagaan al-Quran. Berbeza dengan kitab Taurat atau Injil,
penjagaannya diamanahkan kepada para ulama Yahudi dan Nasrani.
Firman
Allah: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya yang menerangi dengan Kitab itu para nabi yang menyerah
diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga)
ulama mereka dan para pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka
diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum daripada Kitab Allah (Taurat) itu
dan mereka pula menjadi penjaga dan pengawasnya (daripada sebarang
perubahan...,” (Surah al-Maidah 5:44).
Terbukti
penjagaan makhluk seperti mereka gagal menjamin kesucian kedua-dua kitab
tersebut. Banyak sekali para ulama mereka yang tidak amanah merosakkan isi
kitab Allah itu. Inilah sebabnya Allah sendiri yang menjamin penjagaan al-Quran
agar kekal seperti yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Ketika
mengulas ayat ke-9 surah al-Hijr ini, Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah
hebat yang berlaku pada zaman Khalifah al-Mamun daripada kerajaan Bani Abbasiyah.
Khalifah al-Mamun selalu mengadakan majlis perbincangan pelbagai isu dengan
rakyatnya.
Pada
suatu hari seorang lelaki Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai
majlis tersebut. Cakap lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan
semua yang hadir.
Setelah
selesai majlis, Khalifah al-Mamun bertanya agama anutannya. Lelaki itu
menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Mamun mencadangkan agar dia memeluk Islam
dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya. Lelaki Yahudi itu menolak.
Selepas
setahun, lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah
al-Mamun. Bicaranya tentang ilmu fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa.
Khalifah agak terkejut dan bertanya apa rahsia pengislamannya.
Lelaki
Yahudi itu lantas menceritakan: “Setelah aku keluar dari majlismu (wahai
Khalifah) aku berhasrat menguji agama ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula
memiliki tulisan tangan yang sungguh cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan
saksikan. Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan berasingan dan pada
ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya. Selepas itu aku jual
ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat Yahudi. Mereka membeli
ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”
“Selepas
itu aku lakukan perkara sama kepada kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak
gereja tanpa soal. Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah al-Quran bersama
penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada seorang tukang kertas
(pencetak) untuk dicetak. Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi
penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampakkannya jauh dan enggan
membelinya.”
“Selepas
peristiwa itu, aku sedar bahawa kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada
sebarang perubahan atau pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada
pengislamanku.” (Tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).
Maha
Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung
orang Islam yang berbangga, mendalami dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa
ini. Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan
hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah
merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.
No comments:
Post a Comment