Tindakan
suami membenarkan atau reda isteri melakukan maksiat dianggap perbuatan dayus
dan melakukan dosa besar.
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat
(bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: si
penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si
lelaki dayus" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai - Albani mengesahkan Sahih:
Ghayatul Maram, no 278).
Dalam
sebuah hadis lain pula yang bermaksud: "Tiga yang telah Allah haramkan
baginya syurga; orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu
bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli
keluarganya" (Hadis riwayat Ahmad).
Dayus
mengikut hadis ialah lelaki atau suami atau bapa yang langsung tiada perasaan
risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah
sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan
dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
Dalam satu hadis Rasulullah SAW menjelaskan erti lelaki dayus
ialah seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat,
bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).
Lisan
al-Arab, 2/150 dan an-Nihayah, 2/147 mendefiniskan dayus sebagai
"seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya
(isteri dan anak-anaknya).
Imam
Al-Aini pula berkata: "Cemburu lawannya dayus" (Umdatul Qari, 18/228).
Manakala
An-Nuhas pula berkata cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki
itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat
(auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357).
Disebut
dalam kitab Faidhul Qadir bahawa dayus itu membawa erti kehinaan (kepada
si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan
ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" (Faidhul Qadir, 3/327).
Imam
Az-Zahabi pula berkata dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat
tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya
kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan
tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya"
(Al-Kabair, 1/62).
Imam Ibn Qayyim pula berkata sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa
ambil berat atau kecemburuan. Barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah
tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan
menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati
akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram),
sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan
menghindarkannya sama sekali.
Imam
Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya dayus iaitu
lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar
senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya
adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal
baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45).
Wahai
para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda,
janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori dayus yang tiada ruang untuk ke
syurga Allah SWT.
Sayangilah
dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Wahai
para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa
bermatian kerananya.
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang mati dibunuh
kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" (Hadis
riwayat Ahmad - Sahih menurut Syeikh Syuaib Arnout).
Gambar: Bunga telepok sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment