Pejawat awam perlu melaksanakan tugas
diamanahkan rakyat dan negara secara jujur dan tekun. Setiap pekerja
dipertanggungjawabkan dengan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari
akhirat kelak. Dosa atau pahala diperoleh kelak bergantung kepada sejauh mana
individu tersebut berjaya atau gagal dalam melaksanakan tugas yang
dipertanggungjawabkan.
Setiap individu yang menjawat jawatan kerajaan sepatutnya menumpukan sepenuh
perhatian kepada tugas dipertanggungjawabkan kepadanya tanpa mengira
siapakah pemimpin dan parti politik yang menerajui kerajaan. Mereka
dilantik oleh kerajaan tanpa melihat fahaman politik masing-masing.
Setiap penjawat awam mempunyai tugas khusus yang perlu dilaksanakan secara
proaktif dan dedikasi supaya setiap perancangan kerajaan dapat dilaksanakan
sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat dan negara.
Patuh dan bersungguh-sungguh melaksanakan
amanah adalah piagam yang perlu dipegang oleh setiap pejawat awam. Jika tidak
dapat bersama-sama melaksanakan dasar dan perintah ditetapkan, adalah lebih
adil dengan meletakkan jawatan dan diserahkan kepada individu lain.
Sikap cuai dan kurang prihatin terhadap tugas dipertanggungjawabkan adalah
faktor utama yang boleh menggagalkan setiap perancangan kerajaan. Individu
dilantik sebagai kakitangan kerajaan adalah harapan rakyat bagi
merealisasikan perancangan kerajaan untuk membangun masyarakat dan menjamin
keselamatan negara.
Kurang kesedaran terhadap tanggungjawab dan pembalasan di hari akhirat adalah
faktor utama bertambahnya gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan
terhadap masyarakat dan negara.
Individu-individu yang dilantik oleh kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian
kepada tugas secara ikhlas dan dedikasi supaya tenaga dan pengorbanan mereka
dihargai masyarakat dan dirahmati Allah dengan ganjaran pahala istimewa di hari
akhirat.
Kesedaran terhadap pembalasan di hari akhirat sahaja mampu memperkukuhkan
prinsip dan jati diri mereka sebagai orang beriman dan sentiasa mengharapkan
pembalasan baik daripada Allah SWT dan keberkatan dalam kehidupan. Tugas
sebagai anggota keselamatan seperti polis dan tentera adalah satu ‘perniagaan’
yang paling baik di hari akhirat.
Berdasarkan kepada keistimewaan bertugas untuk masyarakat dan negara maka
setiap individu yang terlibat dalam tugas tersebut sepatutnya melatih diri
menjadi orang yang proaktif dan jujur dalam perkhidmatan supaya jasa dan tenaga
yang dicurahkan selama ini diberkati Allah SWT dan memperoleh ganjaran istimewa
di hari akhirat.
No comments:
Post a Comment