Setiap orang ada sisi baik dan sisi kurang
baik. Perkara baik kita kongsi dengan orang lain. Hal buruk biarlah menjadi rahsia
kita.
Cara untuk kongsi perkara baik adalah
menulis di media sosial. Menulis yang baik-baik bukan untuk bermegah atau
menunjuk-nujuk. Sebaliknya, ia diharapkan dijadikan contoh kepada orang lain. Itupun
jika ada yang ingin jadikan ia sebagai contoh.
Setiap orang ada tanggapan masing-masing
terhadap sesuatu perkara. Mungkin itu perkara baik bagi kita tetapi dipandang
buruk oleh orang lain.
Itu hak mereka. Jadi, jika ada yang tidak
bersetuju dengan kebaikan yang kita lakukan, biarkanlah. Tidak perlu bergaduh
dan kecoh-kecoh mengenai perkara tersebut.
Apa yang penting kita yakin bahawa apa yang
dilakukan itu adalah perkara baik. Bukan manusia menentukan perbuatan kita. Allah
SWT adalah sebaik-baik penilai yang memberi balasan atas apa sahaja yang kita
lakukan. Kepada Allah SWT jua kita berserah.
Untuk dilihat baik, kita tidak perlu ‘menipu’
orang di media sosial. Cukuplah berkongsi apa yang sebenarnya, biarpun ia tidak
sebaik manapun. Jauhkan sikap berpura-pura untuk kelihatan baik dan sempurna.
Takutlah untuk menulis perkara yang tidak
benar mengenai kita untuk meraih komen dan tanda suka. Kerana lambat laun orang
akan tahu juga tentang perkara sebenar.
Raihlah pengikut, komen dan tanda suka
berdasarkan apa yang benar tentang kita. Jujurlah pada diri sendiri dan orang
lain.
No comments:
Post a Comment