Saturday 14 January 2023

SIKAP SABAR JADIKAN INDIVIDU DARJAT TERTINGGI

 
Dalam apa juga keadaan, kita dianjurkan untuk meningkatkan kesabaran supaya menjadi insan yang diredai Allah SWT dan berada pada darjat tertinggi di sisi-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Perkataan sabar ini besar rahmatnya sehingga disebut paling banyak dalam al-Quran seperti yang dinyatakan ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi bahawa perkataan sabar itu adalah perkataan akhlak terbanyak dalam al-Quran.

Oleh itu, perlu ada perasaan sabar dalam diri kerana daripada sabarlah kita akan dapat menikmati hikmah dalam kehidupan.

Apa juga yang Allah SWT tentukan, adalah yang terbaik buat kita. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi apa yang kita mahu, tetapi Allah SWT memberi apa yang kita perlu pada waktu yang tepat.

Sesuatu yang Allah SWT aturkan kepada kita barangkali pahit pada awalnya tetapi penghujungnya akan ada kemanisan kerana ketentuan Allah SWT itu adalah sebaik-baiknya.

Sebagai seorang Muslim, kita harus sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan menerapkan sifat mahmudah dan selalu bersyukur dengan kurniaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

No comments:

Post a Comment