Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan
Digital pada 12 Oktober 2023 telah bertemu pengurusan tertinggi TikTok diketuai
Naib Presiden Global TikTok, Helena Lersch untuk mendapatkan penjelasan
berhubung beberapa isu berbangkit susulan peningkatan penyebaran berita palsu
di platform media sosial itu serta operasi TikTok Shop di Malaysia.
Dalam perbincangan tersebut, Fahmi menegaskan
bahawa TikTok perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang
Malaysia. TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan
bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform berkenaan, termasuk penularan
yang bersifat ‘Coordinated Inauthentic Behaviour’ (CIB).
Turut ditekankan ialah pematuhan TikTok
terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan, dan hal ini mesti
diperbetul segera.
Dalam pertemuan tersebuat, pihak TikTok
mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di
Malaysia pada ketika ini.
Justeru, Fahmi menegaskan perlunya TikTok
mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform
terbabit. Ini berikutan aduan daripada gedung-gedung perniagaan, orang awam dan
agensi media yang sangat terkesan akibat iklan yang ditempah terus dengan
platform media sosial.
Dalam pertemuan tersebut, TikTok telah
memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia.
Sehubungan dengan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan
lanjut pada kadar segera untuk menyelesaikan isu-isu ini.
No comments:
Post a Comment