Kerjaya berstatus profesional seperti
doktor, jurutera, peguam, akauntan dan arkitek menjadi minat kebanyakan
pelajar. Tanyalah kepada pelajar sekolah, pasti kerjaya itu menjadi cita-cita
mereka. Malah, ibu bapa juga mengharapkan anak mereka akan mengambil jurusan
itu di universiti dan seterusnya menjawat jawatan yang berkenaan.
Memang status individu profesional
dipandang tinggi. Faktor yang selalu diberi perhatian ialah pendapatan. Jika
bekerja di sektor kerajaan, mungkin gajinya tidak banyak berbeza berbanding
jawatan lain. Hebatnya jika mereka bekerja di syarikat besar atau membuka firma
sendiri. Pendapatanya berkali ganda lebih tinggi.
Untuk memenuhi keperluan guna tenaga
profesional, kerajaan memberi penekanan utama mewujudkan kursus berkenaan di
institut pengajian tinggi (IPT) awam. Malah, IPT swasta turut memainkan peranan
penting melahirkan lebih banyak lulusan profesional.
Malang sekali, banyak lulusan bidang
profesional tidak berminat mencapai status profesional dalam kerjaya
masing-masing. Kebanyakan bidang profesional memerlukan seseorang menduduki
peperiksaan khas untuk melayakkan diri menjadi profesional, selepas memiliki
ijazah sarjana muda di IPT.
Inilah delima lulusan bidang profesional.
Mereka sekadar berjaya menamatkan pengajian di IPT, tetapi tidak yakin untuk
menduduki peperiksaan profesional yang ditetapkan oleh badan profesional.
Akibatnya, mereka gagal untuk memperoleh pekerjaan di syarikat besar, maupun
membuka firma sendiri.
Lihatlah apa yang dialami oleh graduan
bidang perakaunan. Majoriti IPT awam dan swasta menawarkan kursus perakaunan
yang amat diperlukan di pasaran kerja.
Malangnya, syarikat besar tidak berminat
mengambil siswazah perakaunan tanpa memiliki kelulusan profesional. Ia dikaitkan
dengan bidang tugas yang memerlukan pekerja berstatus profesional yang
ditetapkan oleh undang-undang atau badan profesional berkenaan.
Selain itu, kalau tidak berkaitan peraturan
profesion, majikan tidak yakin siswazah sarjana muda tanpa kelulusan profesional
dapat melaksanakan tugas seperti diharapkan. Tugas yang perlu mereka lakukan
memerlukan satu tahap kemahiran yang tinggi.
Memang patutlah kerjaya dalam bidang
profesional mendapat pulangan yang amat lumayan. Syarikat sanggup membayar
tinggi setaraf dengan kepakaran yang dimiliki. Namun, bidang tugas sudah tentu
amat mencabar. Kelulusan yang dimiliki belum melayakkan mereka benar-benar
diserahkan tugas profesional.
Sebab itu, biasanya siswazah bidang
profesional terpaksa terus belajar, dilatih semula, menduduki peperiksaan,
beban tugas yang mencabar dan sebagainya. Keadaan ini menakutkan siswazah
bidang profesional untuk meneruskan minat selama ini.
Sebab itu, rata-rata graduan bidang
profesional, kecuali kedoktoran, lebih suka memilih kerjaya sebagai guru,
pegawai tadbir atau berkhidmat dalam sektor kerajaan yang dianggap lebih mudah
dan selesa.
Sikap itu amat merugikan. Sekiranya mereka
memperoleh peluang pekerjaan itu, ia tidak manjadi satu persoalan. Asalkan
mereka bekerja dan dapat menyumbangkan khidmat kepada negara, itu boleh
diterima biarpun bukan dalam lapangannya.
Masalahnya, banyak yang terpaksa
menganggur. Kemahiran yang dimiliki jika tidak digunakan akan semakin hilang
dari ingatan. Lama kelamaan yang tinggal dimiliki oleh mereka hanyalah segulung
ijazah yang tidak memberi apa-apa manfaat.
Siswazah bidang profesional perlu ditanam
dalam diri mereka sikap ‘bertanggungjawab’ terhadap bidang pengajian yang
dipelajari. Mereka dilatiah dan diberi peluang mengikuti kursus itu atau
kepercayaan bahawa mereka akan dilahirkan sebagai seorang profesional.
Sekiranya ingin menjadi pegawai tadbir atau
guru, elok awal-awal lagi mereka mengikuti kursus yang berkaitan. Ia lebih
mudah dan memberi satu tahap penguasaan lebih baik dalam bidang
berkenaan.
Selain tidak mempunyai keyakinan untuk
menjadi seorang profesional, banyak siswazah bidang profesional sebenarnya
tidak begitu memahami bidang kerjaya berkenaan ketika memohon mengikut kursus.
Banyak pelajar yang memohon kursus kerana terpengaruh dengan nama atau
kepopularan profesion berkenaan.
Selepas Sijil Tinggil Persekolahan Malaysia
(STPM) atau metikulasi, mereka terus dimasukkan ke peringkat ijazah program
berkenaan. Suka atau tidak, mereka terpaksa meneruskan pengajian, biarpun telah
sedar memilih kursus.
Ini berbeza dengan pelajar yang melalui peringkat
dari sijil, diploma dan kemudian ijazah. Mereka telah melalui peringkat
pengajian yang mana mereka ‘kenal’ bidang yang bakal diceburi. Biasanya
golongan ini memilih kerjaya sepertimana kursus yang diikuti.
Perkara ini perlu diberi perhatian. Jangan
terlalu ghairah untuk mengeluarkan bilangan siswazah lebih banyak, sedangkan
tersilap memilih kursus. Akibatnya, mereka tidak menyumbang apa-apa kepada
bidang yang diikuti.
Laluan pengajian dari peringkat sijil,
diploma dan ijazah biasanya lebih lama, tetapi kesannya lebih baik. Melalui
program pengajian berperingkat-peringkat memberi peluang untuk pelajar menukar
aliran atau bidang apabila menamatkan satu-satu peringkat. Ia dapat mengelak
pembaziran ilmu yang tidak dimanfaatkan.
Pertukaran aliran atau kursus bukan
bermakna satu kerugian. Pengetahuan dan ilmu yang diperoleh tetap memberi
manfaat jika digunakan sebagai gabungan dengan bidang baru atau untuk kegunaan
harian.
Motivasi dan sokongan daripada semua pihak
amat diperlukan untuk menyakinkan siswazah bidang profesional menghadapi
cabaran kerjaya masing-masing. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke
pangkal lengan.
No comments:
Post a Comment