Sunday, 1 October 2023

KIAMBANG HIDUP DI PERMUKAAN AIR

 
Kiambang (Pistia stratoites Linn) hidup di permukaan air. Kiambang juga dikenali dengan nama kembiang, kapu-kapu, apon-apon, kayambang, kayu ambang dan kayu apung.
 
Kiambang tersebar secara meluas di kawasan beriklim tropika seperti di Malaysia dan menjadi tumbuhan penakluk permukaan air yang bermasaalah di sesetengah negara.
 
Melihat dari dekat bentuknya seakan-akan pokok kobis bunga yang menyebabkannya turut digelar sebagai 'kobis air'. Batang dan tangkai tumbuhan seakan keladi ini tidak nyata dapat dilihat di mana tunas daun baru terbentuk pada pangkal daun lama membentuk susunan spiral yang rapat.
 
Daunnya berbentuk kelopak bunga beralun menegak. Ia kalis air dan mempunyai lapisan seperti lilin dan berbulu di permukaan daun. 
 
Tumbuhan air ini disukai ramai peminat seni taman kerana keindahan pokok bunga kecilnya selain daunnya yang berbentuk kelopak bunga tersusun indah dan terapung di permukaan air.
 
Kiambang yang diletakkan di dalam bekas atau kolam ikan dijadikan tempat ikan berteduh daripada panas sinaran matahari. Biasanya pokok ini akan membesar antara 5.1 - 45.7 cm diameter . 

Kiambang dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan anak sulur pokoknya. Biasanya daripada sisi pokok kiambang dewasa akan tumbuh beberapa anak pokok yang kecil tetapi telah hidup menyerupai pokok dewasanya. 
 
Pada peringkat awal pertumbuhannya pokok kiambang ini bergantung sepenuhnya kepada pokok induknya untuk mendapatkan nutrien untuk tumbesarannya. Pergantungan ini akan dilihat berterusan sehingga anak kiambang ini tumbuh akarnya sendiri. 

Anak pokok kiambang ini tidak akan tumbuh subur sebagai pokok baru selagi ia tidak dipisahkan dari induknya.




No comments:

Post a Comment