Banyak orang kata darah tinggi ini kena pening kepala dahulu,
baru kena makan ubat. Sebenarnya, pening kepala ketika darah tinggi tidak kena kepada semua orang. Jadi, jangan mudah tertipu dengan tanda-tanda pening ini yang
menyebabkan anda tidak terus ke klinik untuk pemeriksaan darah.
Memang pening kepala adalah salah satu gejala yang
kadangkala dikaitkan dengan tekanan darah tinggi (hipertensi), tetapi penting
untuk difahami bahawa tidak semua orang yang mengalami darah tinggi akan
mengalami pening kepala, dan pening kepala itu sendiri bukan petanda khusus
hipertensi.
Majoriti orang dengan hipertensi tidak mengalami gejala
langsung, terutama jika tekanan darah meningkat secara perlahan.
Kajian menunjukkan bahawa dalam krisis hipertensi, lebih kurang 20–30 peratus pesakit
mungkin mengalami simptom neurologi termasuk pening kepala.
Pening kepala biasanya hanya dilaporkan apabila tekanan
darah sangat tinggi, seperti dalam keadaan yang dikenali sebagai krisis
hipertensi (bacaan melebihi 180/120 mmHg).
Tekanan darah yang sangat tinggi boleh menyebabkan perubahan
dalam tekanan intrakranial (dalam tengkorak), atau menjejaskan aliran darah ke
otak.
Ini boleh mencetuskan gejala lain seperti:
- Pening kepala
- Kabur penglihatan
- Loya atau muntah
- Kekeliruan atau masalah keseimbangan
Tetapi ini biasanya berlaku hanya dalam hipertensi tahap
serius atau akut.
Jika bacaan kurang dari 180/120 mmHg, pening kepala hanya
8-10% sahaja. Malah majoriti pesakit tidak ada gejala pening langsung.
Namun situasi itu boleh juga mendatangkan bahaya jika
pesakit tidak mengambil ubat dengan arahannya sepatutnya
Apa yang perlu dibimbangkan oleh orang awam adalah pening
kepala yang berulang atau sangat teruk, terutama jika disertai dengan:
- Penglihatan kabur
- Sakit dada
- Kesukaran bercakap
- Lemah sebelah badan
Perlu mendapatkan rawatan segera kerana ini mungkin petanda
stroke atau krisis hipertensi.
Jika tekanan darah anda tinggi dan anda kerap mengalami
pening kepala, berbincang dengan doktor untuk:
- Pemeriksaan lanjut (seperti CT scan jika perlu)
- Penyesuaian ubat
- Pemerhatian risiko komplikasi lain
Info ini dibawa oleh
Unit Media Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).
No comments:
Post a Comment