Wednesday, 21 May 2025

IBADAT HAJI HIMPUNAN TERBESAR UMAT ISLAM

 
Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, iaitu apabila turunnya ayat 97, surah Ali Imran. Pada tahun itu Nabi Muhammad bersama kira-kira 1,500 orang Islam berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardu haji. 
 
Bagaimanapun hasrat itu terhalang disebabkan bantahan kaum Quraisy. Peristiwa tersebut membawa kepada termeterai Perjanjian Hudaibiyah yang antara lain menyebut umat Islam ditegah melakukan ibadat Haji pada tahun tersebut, tetapi dibenarkan berbuat demikian pada tahun berikutnya. 
 
Pada tahun ke 7 Hijrah Nabi Muhammad hanya ke Makkah menunaikan umrah. Umat Islam kali pertama mengerjakan ibadat haji adalah pada tahun ke 9 Hijrah.  Kumpulan seramai 300 umat Islam menunaikan ibadat haji pada tahun tersebut diketuai Saidina Abu Bakar. 
 
Nabi Muhammad menunaikan fardu haji pada tahun ke-10 Hijrah. Rasulullah bersama rombongan merentas padang pasir berjalan selama sembilan hari dari Madinah menuju ke Makkah.
 
Ketika wukuf di Arfah, Nabi Muhammad memberi khutbah dan antara kandungan khutbah ialah: "Wahai sekalian umat manusia, dengarlah percakapanku ini, kerana aku tidak tahu boleh jadi aku tidak lagi berjumpa kamu selepas ini di tempat wukuf ini buat selama-lamanya."
 
Di Arafah jugalah turun wahyu terakhir iaitu ayat 3 surah al-Maidah yang bermaksud: "Pada hari ini aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku reda Islam itu menjadi agama untuk kamu."
 
Ibadat haji menghimpunkan seluruh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk tujuan dan maksud yang sama. Sekarang ini kira-kira dua juta umat Islam menunaikan ibadat haji setiap tahun. Jumlah itu adalah yang mampu diuruskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.  Jika tidak, sudah tentu bilangan jemaah hari lebih ramai daripada itu. 
 
Perhimpunan umat Islam menunaikan ibadat haji adalah perhimpunan teramai manusia untuk melakukan satu-satu ibadat di muka bumi ini. Mereka memakai pakaian, mengucapkan perkataan, dan melakukan perbuatan yang sama ketika menunaikan ibadat haji.
 
Satu panorama paling mengusik minda ialah semua jemaah hari dalam berpakaian ihram melakukan rukun dan wajib haji tanpa membezakan keturunan, darjat kekayaan dan budaya hidup. Pakaian ihram melahirkan perasaan insaf dan sedar bahawa seluruh manusia sama di sisi Allah melainkan ketakwaan yang membezakan darjat manusia. 
 
Sesiapa yang mampu, terutama dalam soal kewangan, wajarlah menyegerakan perlaksanaan ibadat haji. Janganlah menggunakan alasan kononnya belum tiba seru seperti yang sering dijadikan alasan mereka yang mampu, tetapi masih tidak mahu menunaikan fardu haji.
 
Rasulullah pernah mengingatkan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Hendaklah kamu bersegera menunaikan haji, kerana sesungguhnya salah seorang daripada kamu tidak tahu suatu halangan yang akan merintanginya.”
 
Satu lagi perkara yang perlu difahami di kalangan umat Islam bahawa haji bukan sekadar satu ibadat, tetapi juga mendidik manusia agar mementingkan kehidupan di dunia ini iaitu mencari rezeki yang mencukupi dan seterusnya berusaha menyahut seruan haji.
 
Seperti semua maklum, belanja menunaikan haji agak besar. Ini memerlukan satu usaha yang gigih dan berterusan menyimpan wang yang secukupnya. Dengan kata lain, ibadat haji mempunyai kaitan dengan keupayaan ekonomi, sama juga dengan zakat. 
 
Melihat kepentingan ekonomi, tidak ada larangan untuk berdagang atau melakukan sesuatu usaha mencari rezeki ketika menunaikan ibadat haji. Namun, ia hendaklah dilakukan dengan tertib dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
 
Firman Allah bermaksud: “Sebelumnya ada di antara kamu yang berasa bersalah jika melakukan perniagaan dan mencari rezeki pada musim haji. Sebenarnya, kamu tidak berdosa melakukan hal itu. Maka, berniagalah dengan cara-cara yang disyariatkan, carilah kurniaan dan nikmat Allah.” (Surah Al-Baqarah: 197)
 
Sesungguhnya, ibadat haji memberi makna yang cukup besar di dalam kehidupan seseorang Muslim. Di samping sebagai tanda pengabdian terhadap Allah dengan menunaikan salah satu Rukun Islam yang lima itu, ia juga menjadi cermin pembangunan peradaban manusia, keupayaan umat Islam dalam segi ekonomi dan hubungan sosial.

No comments:

Post a Comment