Dalam Islam telah wujud prinsip
perundangan yang memperuntukkan kaedah-kaedah khusus untuk memenuhi keperluan
masyarakat majmuk.
Para penggubal undang-undang Islam
sejak zaman dulu telah meninggalkan warisan kanun yang berbentuk hukum-hukum yang
berpandukan kepada al-Quran dan hadis, kajian dan ijtihad mereka.
Hukum-hukum berdasarkan ijtihad
dibahagikan kepada dua. Pertamanya, hukum-hukum yang tetap tidak berubah dan tidak boleh ditukar ganti dan tidak
pula bercanggah dengan sebarang maslahah disebabkan bercanggah keadaan zaman
dan tempat.
Keduanya, hukum-hukum yang menjaga
kepentingan maslahah manusia mengikut keperluan semasa, tapi tetap diputuskan
mengikut al-Quran dan hadis.
Konsep undang-undang pentadbiran
Islam menitikberatkan soal kebajikan dan kebaikan, serta menjauhkan dari
kemungkaran dan kehancuran.
Undang-undang pentadbiran Islam
turut mengiktiraf kewujudan dan sumbangan masyarakat bukan Islam dalam
masyarakat Islam. Sebab itu, sebarang
keputusan berkaitan sesuatu undang-undang hendaklah turut mengambil kira
kepentingan orang bukan Islam.
Kebaikan yang dianjurkan Islam
membuktikan ketelusan untuk mewujudkan masyarakat yang menghayati hukum Islam
di kalangan orang bukan Islam.
Islam mementingkan penerimaan
terhadap Islam tanpa melibatkan sebarang paksaan. Sesiapa yang menganut Islam
bererti bersedia menerima segala ketentuan hukum dan melaksanakan tugas sebagai
seorang Muslim.
Sedangkan bagi sesiapa yang ingin
kekal dalam agama anutan masing-masing, hendaklah bersedia mematuhi dasar-dasar
bernegara yang ditetapkan oleh pemerintah Islam.
Orang bukan Islam dalam negara Islam
perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Orang Islam ditegah sama sekali menghina atau
merosakkan sesuatu yang berkaitan dengan agama lain.
Orang bukan Islam yang sedia tunduk
kepada pemerintah Islam adalah haram diperangi atau dilakukan perbuatan khianat
terhadap mereka. Apa yang mereka nikmati
juga hendaklah diteruskan tanpa sekatan.
Firman Allah swt bermaksud: “Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu. Sesungguhnya Allah
mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).
Sesungguhnya Rasulullah SAW sentiasa
menunaikan permintaan orang bukan Islam di Madinah yang melibatkan kepentingan
golongan itu seperti dalam urusan perniagaan, pertanian, keselamatan dan
kebebasan beragama.
No comments:
Post a Comment