Friday, 16 February 2018

PENGKALAN KUBUR PEKAN BEBAS CUKAI

Jika Langkawi terkenal pulau bebas cukai, tidak kurang hebatnya juga Pengkalan Kubur, di Kelantan. Konsepnya tetap sama, iaitu barangan yang dijual dengan harga lebih murah berbanding tempat lain disebabkan ia belum dikenakan cukai import. Justeru, kedua-dua tempat tersebut menjadi perhatian ramai untuk membeli belah. 

Pengkalan Kubur terletak kira-kira 27 kilometer dari Kota Bharu dan hanya lapan kilometer dari pekan Tumpat.  Kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur terletak di tebing Sungai Golok yang memisahkannya dengan pekan Takbai, Thailand. 

Jika seluruh kawasan Langkawi diiystiharkan bebas cukai, kawasan yang disediakan untuk perniagaan bebas cukai di Pengkalan Kubur hanya berkeluasan kira-kira 2.5 hektar dan berpagar. Bagaimanapun, ia sudah dianggap luas dan selesa untuk membeli belah, asalkan ada wang.

Kebanyakan barang di kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubur diimport dari Thailand, seperti pakaian, kasut, perkakas dapur, barang plastik, permainan kanak-kanak, alas tidur dan barang keperluan harian.

Barangan dari negara lain kebanyakannya dari negara Eropah seperti pinggan mangkuk, kristal, minyak wangi, barangan kulit dan perhiasan diri. Barangan tersebut dikelaskan sebagai barangan berjenama.
  
Memandangkan konsep kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubur bukan hanya yang berkaitan barangan bercukai, turut terdapat di situ ialah gerai menjual buah-buahan, makanan ringan, hasil laut dan lain-lain.

Kedai bebas cukai di Pengkalan Kubur biasanya mengalami limpahan pengunjung terutama pada setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah. Pengunjung boleh membawa masuk kenderaan masing-masing ke dalam kawasan bebas cukai, tetapi tempat letak kenderaan agak terhad.

Terdapat dua pintu keluar masuk ke kawasan bebas cukai. Pintu ‘hadapan’ atau laluan utama membolehkan pengunjung memasuki dengan kenderaan. Pintu ‘belakang’ terletak  dari pusat pekan Pengkalan Kubur dan hanya boleh dimasuki secara berjalan kaki. Ia biasanya digunakan oleh pengunjung yang menggunakan kenderaan awam. 

No comments:

Post a Comment