Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober 1924
di Sitiawan, Perak dengan nama sebenar Ong Boon Hwa. Beliau adalah Setiausaha
Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Nama Chin Peng dirakam sebagai sejarah
hitam tanah air akibat keganasan dilakukan PKM.
Chin Peng berketurunan Kantonis yang
didakwa lahir di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36,
Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Bagaimanapun, dalam perbicaraan memohon
dibenarkan masuk Malaysia, beliau gagal mengemukakan sijil kelahirannya. Beliau
merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya
datang dari negara China yang kecewa akibat kemelesetan ekonomi di Tanah Besar
China.
Semasa kecil, Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan
mengikuti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara
Chiang Kai-shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan
menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan
nenek moyangnya di kawasan Kwantung.
Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng
mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Chiang Kai
Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Namun, buku kecil On
Protacted War yang dikarang oleh Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran
komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah
Melayu pada tahun 1941.
Penglibatan Chin Peng dalam PKM bermula
pada tahun 1940 apabila diterima untuk menyertai parti itu yang menjadi satu
cabang Parti Komunis China di seberang laut. Beliau turut menyertai Force 136,
satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang
Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun. Chin Peng
memimpin Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA), sebuah pasukan gerila bagi
menentang tentera Jepun.
Atas jasanya terhadap perjuangan
penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal
Order of the British Empire kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan
Force 136 menentang Jepun.
Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan
komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan
Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng
dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek
yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek telah belot dan melarikan wang Parti
Komunis Malaya.
Di bawah pimpinan Chin Peng, Parti Komunis
Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang
getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu.
Lantaran itu, ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng.
Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana ditolak di kalangan
orang Melayu.
Namun, terdapat juga orang Melayu menyertai
PKM seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D, Samsiah Fakeh dan Suraini Abdullah.
Penyertaan di kalangan Melayu disebabkan PKM tidak mengamalkan atiesme.
Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai
tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia.
Pengalaman orang-orang Melayu selepas
Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang
tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas
komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa
pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke
tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada
rakyat amnya.
Perjuangan komunis tidak boleh dianggap
sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk
kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka
tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai
kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan
pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih
berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan daripada masyarakat, pemimpin Parti
Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955.
Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling
pada tahun 1955.
Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng
enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui
parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar
dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Chin Peng kembali ke dalam hutan dan
melakukan keganasan. PKM terus menyebarkan propaganda agar rakyat membenci
usaha untuk mencapai kemerdekaan. Sepanjang keganasan dilakukan oleh PKM,
seramai 2,083 anggota keselamatan negara terkorban dan mencacatkan 3,541
anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang
lain cedera.
Setelah komunis runtuh di Rusia dan
runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989, PKM semakin goyah. Satu
perjanjian damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dengan PKM
ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian
Haadyai.
Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan
bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali
ke Malaysia dengan syarat membuat permohonan. Namun Chin Peng tidak membuat
permohonan kembali ke Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan iaitu setahun.
Chin Peng tidak pernah menyatakan kesal
memimpin PKM dalam perperangan mereka menentang kerajaan Malaysia, malah bangga
dengannya sebagaimana yang ditulis olehnya dalam bukunya, “Setiap generasi
membina impiannya. Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah
membayar harga ke atas impian kami. Saya tidak menyesal berjuang ke atas
sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan
yang adil.”
Ching Peng pada penghujung hayatnya ingin pulang ke Malaysia sepertimana ditawarkan
oleh kerajaan Malaysia sebelum sepertimana semasa Perjanjian Haadyai.
Bagaimanapun, permohonan beliau ditolak kerana tawaran ini telah tamat tempoh.
Pada 4 Mac, 2005, Chin Peng mengemukakan
saman pemula bagi mendapat pengisytiharan untuk dibenarkan memasuki dan menetap
di Malaysia dan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara
dan Panglima Angkatan Tentera sebagai defendan.
Chin Peng mendakwa beliau berhak balik ke
Malaysia kerana dia berasal dari Malaysia sejak dilahirkan pada 20 Oktober,
1923 di Sitiawan, Dinding, Perak dan dibesarkan di Malaysia. Dia mendakwa
kelahirannya didaftarkan dan juga memiliki salinan asal sijil itu.
Namun permohonan itu ditolak antara lain
berpunca kegagalan menunjukkan sijil kelahiran untuk membuktikan dia rakyat
Malaysia. Dokumen itu penting untuk menentukan status Chin Peng kerana
Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat menemui sebarang rekod kelahiran Chin
Peng.
Mahkamah Tinggi memaksa Chin Peng
mengemukakan sijil kelahiran dan kewarganegaraan bagi membuktikan bahawa dia
adalah warganegara Malaysia sebelum membenarkannya meneruskan permohonan bagi
mendapat pengisytiharan bahawa dia boleh menetap di negara ini.
Usaha pertama Chin Peng untuk mendapat
pengisytiharan itu ditolak apabila Mahkamah Tinggi menolak saman pemula selepas
dia gagal mematuhi peraturan mahkamah untuk mengemukakan sijil kelahiran dan
kertas kewarganegaraan.
Chin Peng kemudian membuat rayuan di
Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun,
Makhamah Rayuan pada 20 Jun 2008 menolak permohonan tersebut dan Hakim Mahkamah
Rayuan, Datuk Abdul Malik Ishak mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang
memutuskan bahawa dia perlu mengemukakan sijil kelahiran atau kewarganegaraan
bagi membuktikan dia adalah rakyat Malaysia sebelum meneruskan tindakan
undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.
Abdul Malik Ishak, dalam keputusannya
berkata dokumen itu penting untuk menentukan status Chin Peng kerana Jabatan
Pendaftaran Negara tidak dapat menemui sebarang rekod kelahiran Chin Peng.
Tidak berpuas hati dengan keputusan
Mahkamah Rayuan, Chin Peng meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Mahkamah
Persekutuan yang bersidang kemudiannya mengekalkan keputusan dua mahkamah
rendah yang memaksanya menunjukkan dokumen pengenalan sebelum dibenarkan
memasuki negara ini.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk S
Augustine Paul, yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Datuk Wira
Ghazali Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas menolak usul Chin Peng memohon
kebenaran untuk rayuan.
Dalam prosiding rayuan itu, peguam Chin
Peng, Raja Aziz Addruse, menegaskan bahawa bukti kewarganegaraan tidak
diperlukan bagi pemohon untuk menunaikan haknya memasuki Malaysia kerana ia
juga boleh dibuktikan dengan memanggil adik atau gurunya untuk memberi
keterangan.
Raja Aziz berhujah, mengikut klausa 3(1)
perjanjian damai antara kerajaan dan PKM bertarikh 2 Disember, 1989, anggota
PKM yang berasal dari Malaysia dan ingin menetap di Malaysia perlu dibenarkan
berbuat demikian mengikut undang-undang.
Menurut Raja Aziz, "Mahkamah perlu
meneliti apa makna "asal Malaysia". Adalah menjadi tugas mahkamah ini
untuk menterjemah perjanjian antarabangsa.
Pihak kerajaan pula memutuskan bahawa Chin
Peng tidak termasuk dalam golongan ditawarkan untuk kembali ke Malaysia kerana
tidak pernah melepaskan perjuangan parti dan ideologi komunisnya sebagaimana
yang disyaratkan dalam Rundingan Damai Haadyai tersebut.
Tawaran pengampunan yang diberikan semasa perjanjian damai di Hadyai, Thailand
pada 1 Disember 2009 yang lalu, adalah dengan syarat pihak PKM membubarkan
parti serta ideologi komunis mereka.
Bagaimanapun terdapat pihak yang
mempersoalkan kenapa Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh yang juga bekas pemimpin PKM
dapat diterima kembali ke Malaysia, tetapi tidak bagi Chin Peng. Persoalan ini
dicetuskan tanpa memikirkan bahawa Chin Peng tidak pernah menyatakan
kekesalannya membunuh rakyat Malaysia malah berbangga dan menulis buku bagi
membenarkan tindakannya.
Chin Peng telah dilaporkan meninggal dunia
pada usia 90 tahun, di Bangkok, Thailand pada jam 6.20 pagi 15 September 2013.
Selepas kematiannya, timbul polimik apabila ada pihak ingin membawa pulang abu
mayatnya dan ingin disemadikan di Sitiawan, Perak, tempat yang didakwa tanah
tumpah darahnya. Sedangkan pihak kerajaan melarang usaha
tersebut.
Mengapa masih ada usaha pihak-pihak
tertentu untuk menobatkan mendiang Chin Peng sebagai hero? Chin Peng adalah
pengganas. Itu hakikatnya. Keputusan kerajaan melarang mayat mahupun abu
mayat mendiang dibawa ke Malaysia adalah tepat. Mediang bukan warganegara
Malaysia. Perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Sikap mengagungkan Chin Peng sudah
keterlaluan. Sehingga ada laporan laporan menyatakan tarikh kematian Chin Peng
dikatakan mungkin diubah daripada 15 September kepada 16 September agar sinonim
dengan sambutan Hari Malaysia. Mengapa Chin Peng hendak dikaitkan dengan Hari
Malaysia, sedangkan tidak ada jasa walau sekecil zarah dalam usaha penubuhan
Malaysia.
Tindakan sesetengan pihak mendakwa kerajaan
pilih kasih dengan membenarkan jenazah teroris, Allahyarham Azahari Husin dan
Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini tetapi melarang Chin Peng tidak
betul. Kita perlu kembali kepada fakta, Azahari dan Nordin kedua-duanya rakyat
Malaysi, sedangkan Chin Peng bukan.
Pihak yang mendakwa kerajaan melangggar
perjanjian damai dengan PKM di Hatyai pada 1989 berkaitan dengan peluang kepada
bekas ahli PKM untuk menjadi rakyat Malaysia juga tidak betul. Dalam perjanjian
itu memang tertulis mengenai peluang untuk bekas ahli PKM memohom menjadi
rakyat Malaysia dan pulang tinggal di Malaysia.
Peluang itu diberikan kepada semua bekas
ahli PKM, termasuk Chin Peng. Namun, peluang atau tawaran itu hanya untuk
tempoh setahun iaitu tamat pada tahun 1990. Malangnya, mendiang tidak pernah
memohon untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian itu
dimeterai, menjadikan haknya telah luput.
Tindakan sesetengah pihak yang menggunakan
'Allahyarham' terhadap Chin Peng amat keterlaluan. Perbuatan itu dilakukan bagi
menggambarkan mungkin di saat akhir hayatnya Chin Peng telah memeluk
Islam.
Semua itu dilakukan semata-mata untuk
mendapat simpati rakyat agar mayat Chin Peng diterima untuk dikebumikan di
Malaysia. Tindakan itu juga bertujuan untuk menjulang bahawa Chin Peng adalah
pejuang kemerdekaan yang perlu dihormati dan disanjung jasanya.
Walaupun sudah meninggal dunia, mendiang
tetap ketua pengganas komunis yang bertanggungjawab membunuh ribuan anggota
keselamatan negara.
Kematian Chin Peng itu juga tidak mungkin
dapat memadam rasa kebencian terhadap mendiang terutama dalam kalangan
balu-balu anggota polis dan tentera yang dibunuh kejam pengganas komunis.
Tidak mungkin veteran polis dan tentera
akan menerima mayat atau abu mendiang sekalipun untuk dikebumikan di Malaysia.
Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu.
Pihak yang menjadikan Chin Peng sebagai
idola perlu menyorot sejarah keganasan komunis membunuh ramai anggota
keselamatan termasuk bekas Ketua Polis Perak dan ribuan lagi yang cacat
anggota.
Selain itu, nyawa orang awam juga menjadi
korban angkara keganasan PKM selain banyak wang negara dibazirkan untuk
menghalang keganasan mereka.
Bayangkan berita kematian Chin Peng
disebarkan sebagai “Chin Peng sudah wafat”. Mulianya Chin Peng pada
padangan mereka. Inilah dikatakan apabila mata hati telah buta. Tindakan
itu seperti memberi erti seperti Nabi. Dalam masyarakat Melayu, perkataan wafat
digunakan untuk merujuk kematian Nabi Muhammad SAW dan para nabi.
Inilah gelagat anak muda yang lupa sejarah.
Mereka tidak membaca sejarah keganasan yang dilakukan oleh komunis yang
diketuai oleh Chin Peng. Mereka tidak mengalami penderitaan seperti mana
dialaimi oleh anggota tentera, polis, orang awam dan mereka yang hidup pada
zaman darurat.
Seorang pemuda Melayu semasa 'bertwit'
menulis: Mayat Chin Peng akan dibawa pulang? Kami anak muda sedia sahut dan
urus jenazah pejuang itu!
Tidak pasti apakah budak itu sedar apa yang
dia cakap? Atau hanya mahukan perhatian murahan.
PKM berjuang bukan menuntut kemerdekaan
sebaliknya menjadikan Malaysia negara komunis yang hanya akan menjadi boneka
kepada Republik China.
Dari segi latihan ketenteraan, persenjataan
serta bantuan logistik semuanya diperoleh dari China, selain Chin Peng dan
beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh pernah
tinggal untuk tempoh yang lama di Beijing.
Gambar atas - Pegawai tentera British John Davis (dua dari kiri) mengiringi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng (kiri), bersama Chin Tian dan Rashid Maidin. Mereka berjalan menuju ke sebuah bangunan sekolah di Baling pada tahun 1955 untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman dan Ketua Menteri Singapura David Marshall.
No comments:
Post a Comment