Jambatan Palekbang-Kota Bharu dijangka siap sepenuhnya pada
akhir 2026. Kerja-kerja pembinaan sedang giat dilaksanakan sekarang.
Pembinaan membabitkan struktur atas (superstructure)
jambatan termasuk pylon utama bagi jambatan jenis 'cable stayed' setinggi 120
meter dari aras Sungai Kelantan. Jambatan 'cable stayed' ini akan merentasi 300
meter sungai manakala jambatan penghubung (approach bridge) pula sepanjang 900 meter.
Secara keseluruhan, projek yang menelan kos hampir RM300
juta itu merangkumi pembinaan jalan dan jambatan sepanjang empat kilometer
iaitu jalan jenis U5 dua lorong dua hala.
Dengan siapnya jambatan yang menghubungkan dua daerah itu
nanti, ia dapat memangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan Palekbang khususnya
Wakaf Bharu, Tumpat dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Laut dan Pasir
Pekan.
Selain itu, jambatan ini nanti dapat menyediakan linkage
yang lebih efisyen dari sempadan Malaysia-Thailand (Pengkalan Kubor/Rantau
Panjang) ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Antara keutamaan pembinaannya juga adalah untuk mengurangkan
kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Yahya Petra dan di bandar Kota Bharu
di samping merancakkan aktiviti pelancongan di Pusat Bandar Kota Bharu.
Jambatan Palekbang adalah salah satu komponen penting dalam
rancangan pembangunan kawasan pesisir Sungai Kelantan yang membabitkan Kota
Bharu dan Tumpat.
Ia turut disokong oleh projek Kota Bharu Promenade dan
inisiatif River Cruise yang bakal menghubungkan gugusan pulau di Tumpat ke
pusat bandar melalui Kampung Laut.
Keseluruhannya, pembangunan ini adalah sejajar dengan
aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan pembangunan bersepadu berasaskan
pelancongan yang mampan, menarik dan memberi impak tinggi kepada ekonomi negeri
serta rakyat setempat.