Tuesday, 24 October 2023

KENAF DIPROSES JADI MAKANAN TERNAKAN

 
Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan penanaman 10,000 hektar tanaman kenaf di seluruh negara dalam masa beberapa tahun akan datang. Bagi mencapai sasaran itu, LKTN mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat swasta.
 
Perkembangan penanaman kenaf memang menggalakkan. Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam. 
 
Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman berkenaan.
 
Setakat ini, penanaman kenaf di negara ini adalah sebanyak 2,000 hektar yang membabitkan tanaman secara kecil-kecilan oleh petani termasuk di Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak dengan pengeluaran hasil kira-kira 10,000 tan setahun untuk diproses dan dijadikan pelbagai produk.
 
Kenaf mengambil tempoh kurang daripada enam bulan untuk mencapai tahap matang. Selain daripada LKTN, pelbagai institusi dan badan kerajaan seperti UPM, MARDI, dan FRIM yang telah berkerjasama dalam membuat kajian dan mengawal selia penanaman tanaman perusahaan ini. Antara contoh potensi kenaf adalah sebagai sumber makanan ternakan dan sebagai asas serat.
 
Kandungan protein dalam kenaf menjadikannya sesuai sebagai sumber makanan ternakan berprotein tinggi. Nisbah protein dalam kenaf boleh diterjemahkan sebagai protein tambahan dalam pelbagai bentuk makanan ternakan seperti pelet, silaj, kiub dan jerami yang sesuai untuk dicampurkan dengan makanan asas untuk ternakan di Malaysia.
 
Pemprosesan kenaf sebagai sumber makanan ternakan perlu mengambil kira umur tanaman, teknik potongan, campuran bahan, serta pembungkusan dan penyimpanan. Makanan ternakan merupakan komponen penting dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil, sihat, dan berterusan.
 
Kenaf mempunyai batang yang sesuai sebagai sumber serat yang dituai melalui proses pengeretan. Secara amnya, pengeretan melibatkan proses pengasingan dan pemecahan batang kenaf dengan menggunakan mikroorganisma dan kelembapan yang akhirnya meninggalkan bahagian serat sahaja.
 
Serat yang dituai daripada kenaf mempunyai kegunaan dalam penghasilan produk mesra alam seperti produk biokomposit dan pelbagai perkakas rumah termasuk perabot dan bingkai gambar.
 
Selain daripada itu, batang kenaf sesuai untuk dijadikan bahan asas penghasilan kertas berkualiti tinggi, di samping mempunyai potensi dalam nilai bioperubatan yang wajar diterokai dengan lebih lanjut.
 
Kini semakin banyak usahasama dijalankan pelbagai sektor dalam menggiatkan lagi penanaman kenaf di Malaysia.
 
Di samping meluaskan lagi kawasan penanaman dan pemprosesan kenaf, kita mampu memperkasakan lagi penghasilan produk hiliran yang memberi nilai tambah yang berganda.
 
Sekiranya produk hiliran berasaskan kenaf mampu mendapat tempat dalam pasaran, maka tanaman ini akan mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu komoditi yang lumayan kepada negara.

No comments:

Post a Comment