Monday 22 January 2024

TAULADAN KEHAKIMAN BERKAITAN PERNIAGAAN EMAS

 
Perniagaan emas dianggap paling stabil dan menguntungkan. Namun, ada pihak yang memanipulasikan dalam perniagaan emas. Sebab itu, sudah banyak perniagaan emas menimbulkan masalah sehingga mengakibatkan pelabur mengalami kerugian besar setelah ia dimanipulasikan.  

Kita ambil contoh perniagaan emas yang dikendalikan Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia). Ia memang menjalankan perniagaan emas iaitu pelaburan jongkong emas pada awal 2000-an. Operasi syarikat mendapat sambutan pelabur kerana dijanjikan keuntungan yang dianggap “berbaloi” oleh pelabur.

Namun, syarikat itu kemudian disiasat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas itu, melebihi aset syarikat itu. Keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urus niaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Justeru, operasi Genneva Malaysia disifatkan sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

Jadi bagaimana Genneva hendak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit).

BNM mengambil tindakan menyiasat operasi syarikat itu apabila terdapat pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis. BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat.

Siasatan itu telah membawa kepada empat pengarah syarikat Genneva dihadapkan ke mahkamah di atas 154 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM200 juta.

Mereka dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram di Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka juga menghadapi pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di premis syarikat di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur, antara November 2008 dan Julai 2009.

Pada 16 Mei 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebas dan melepaskan keempat-empat individu terbabit selepas mendapati keterangan pembelaan mereka berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebas dan melepaskan keempat-empat tertuduh.

Pada 20 September 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan kesemua mereka selepas mendapati syarikat pelaburan itu hanya menjalankan aktiviti jual beli emas secara fizikal dan tiada bukti bahawa syarikat tersebut mengambil deposit tanpa lesen.

Apabila pihak pendakwaan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan, keputusan sebaliknya berlaku. Pada 12 Disember 2017, mahkamah mendapati kempat-empat si dituduh bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati pihak pendakwaan selaku perayu dalam kes ini berjaya membuktikan pertuduhan yang dihadapi kesemua responden melampaui keraguan munasabah.

Kesemua pesalah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM1 juta setiap seorang, dan diperintahkan menjalani hukuman bermula tarikh hukuman selepas hakim menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi penangguhan sementara hukuman penjara sementara pihaknya menfailkan semakan terhadap keputusan itu.

Pada 12 April 2019 Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yaacob Md Sam, Mohamad Zabidin Mohamad Diah dan Yew Jen Kie membuat keputusan sebulat suara ketika menolak permohonan untuk semakan semula sabitan dan hukuman penjara lapan tahun terhadap pesalah.

Keputusan itu menjadi duluan atau tauladan kehakiman kepada kes-kes akan datang dalam bentuk hujah serta kes yang mempunyai fakta yang sama.

Justeru, peniaga dan pelabur perlu berhati-hati menentukan urus niaga yang dijalankan tidak termasuk dalam aktiviti pengambilan deposit tidak sah dan aktiviti pengubahan wang haram, yang mana kedua-duanya merupakan kesalahan masing-masing di bawah subseksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) dan subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Bukti syarikat memiliki lesen perniagaan yang sah dengan SSM bukan alasan untuk mengatakan semua aktiviti syarikat adalah sah di sisi undang-undang.

No comments:

Post a Comment