Sunday, 25 August 2024

KENYATAAN POLITIK KERAS DAN KASAR

 
Cara berpolitik di pentas demokrasi yang keras dan kasar dengan menuduh dan menggelar pihak politik yang berbeza sebagai "lebih dajal daripada dajal" adalah tidak patut sama sekali.
 
Naratif politik sebegini akan mengulangi siri pertembungan yang tajam khususnya antara penyokong dan ahli PAS dan UMNO awal 80-an menerusi cetusan amanat-amanat dan ucapan-ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah diredakan menerusi Muafakat Nasional pada 2019.
 
Politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baru masyarakat Malaysia.
 
Umum umat Islam mengenali sosok "dajal" menerusi hadis-hadis Rasulullah SAW sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia dan menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa pada akhir zaman sebelum Qiamat. Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia.
 
Politik demokrasi di Malaysia perlu dihiasi akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, janganlah ada satu kelompok mempersendakan satu kelompok yang lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan. Dan janganlah para wanita mempersendakan wanita-wanita lain barangkali yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mempersendakan. Dan janganlah kamu mencela diri sendiri dan janganlah kamu gelar-menggelar dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk nama adalah kefasikan selepas keimanan. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah sebenar-benar orang-orang yang zalim"
 
Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam tulisannya melabelkan parti kerajaan termasuk UMNO sebagai "lebih dajal daripada dajal” kerana kononnya menggunakan "kebendaan" sebagai alat mendapatkan sokongan politik adalah tidak wajar.
 
Hakikatnya, dalam politik Islam, pembangunan fizikal untuk rakyat adalah kewajipan kerajaan yang memerintah. Ia adalah prinsip asas dalam politik Islam.
 
Politik Pas memang mengelirukan. Adakah disebabkan pemikiran itu negeri Kelantan tidak dimajukan, tetapi sering kali menuduh kerajaan Pusat tidak membantu atau menganak tiri Kelantan dalam soal pembangunan.
 
Ketika Kelantan diperintah Barisan Nasional (1978 sehingga 1990), pembangunan yang dibawa oleh BN dituduh kononnya mendatangkan banyak keburukan. Boleh dikatakan semua yang dibuat oleh BN sebagai tidak mendatangkan manfaat atau sekurang-kurangnya dikatakan tidak diperlukan.
 
Atas dasar itulah agaknya, Kelantan tidak dibangunkan oleh kepimpinan Kelantan. Pembangunan yang berlaku sekarang di Kelantan adalah peruntukan dan usaha dibuat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Pusat. Kalau ada sedikit pembangunan hasil perancangan kerajaan Kelantan, ia dilakukan dengan kerjasama pihak swasta yang mendapat keuntungan hasil “tukar ganti” kawasan balak atau tanah yang dipajakkan.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment