Thursday 31 May 2018

KEASLIAN AL QURAN TERSELAMAT

Al-Quran kitab agung yang tiada tandingan. Sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad, al-Quran terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindahan dan tokok tambah.  

Biarpun ada pihak cuba melakukan khianat terhadap al-Quran, namun usaha itu tidak berjaya. Pindaan dan tokok tambah yang dilakukan segera disedari oleh umat Islam dan segera menghapuskan kepalsuan yang cuba dicipta oleh musuh Islam itu.

Kekuatan dan keagungan al-Quran tiada bandinganya. Sesungguhnya, kandungan al-Quran tidak mampu dicipta oleh manusia. Bahkan, tidak mungkin ada satu ayat ciptaan manusia yang menandingi mana-mana ayat al-Quran. 

Allah telah menegaskan betapa biarpun manusia berkumpul dan menggabungkan fikiran serta saling membantu, tidak mungkin manusia dapat melakukannya.   

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-Isra, ayat 88).

Dalam al-Quran mengandungi pelbagai perkara meliputi semua kehendak dan keperluan manusia berkaitan kepentingan dunia dan akhirat. Kandungan al-Quran boleh diringkaskan kepada empat perkara utama.

Pertamanya, berkaitan mengenai hukum ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji. Keduanya, memperkatakan mengenai peraturan hidup yang perlu diamalkan oleh manusia seperti mengenai peraturan jual beli, perkahwinan, budi pekerti, pergaulan jiran tetangga, tepati janji dan sebagainya.

Ketiganya ialah menceritakan tentang ilmu sains, perubatan, cakrawala, biologi, kimia dan geografi. Manakala perkara keempat ialah mengenai sejarah dan tauladan hidup masyarakat terdahulu.

Sesungguhnya apa yang tercatat di dalam al-Quran adalah lengkap dan memberi manfaat yang besar kepada manusia sebagai panduan hidup.  Semua keperluan panduan hidup manusia terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anam ayat 38 bermaksud: "Tiadalah Kami meninggalkan sesuatu perkara pun dalam al-Quran."

Menariknya, perbahasan dan kajian terhadap kandungan al-Quran tidak akan selesai. Ini membuktikan kehebatan al-Quran Kalam Yang Maha Pencipta. Pemikiran manusia tidak mampu memahami atau menafsirkannya perkataan demi perkataan atau ayat-ayatnya dengan sepenuhnya. 

Kehebatan kandungan al-Quran mendorong bukan Islam turut mengkajinya. Semakin banyak penemuan sains berjaya dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang bukan Islam. Ketika pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu telah tercatat di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.

Ketepatan kandungan al-Quran berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli sains, membuktikan al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad. Tidak mungkin bagi seorang yang buta huruf seperti Rasulullah dapat mencipta kandungan al-Quran yang mengandungi kenyataan-kenyataan berkaitan sains dan teknologi.

Bahkan, tidak munasabah untuk mengatakan manusia yang hidup lebih 1400 tahun mengetahui tentang penemuan sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih seperti yang terdapat pada masa sekarang.

Perkara ini tidak sukar diterima oleh orang beriman. Allah Maha Pencipta. Dialah mencipta semua makhluk di dunia ini. Jadi, Dia dapat menceritakan dengan jelas bagaimana proses setiap kejadian dengan tepat.

Malah sebahagian kandungan al-Quran yang menyatakan mengenai kejadian alam, merupakan bukti kewujudan Allah dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad. 

Firman Allah SWT menjelaskan bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fushshilat, ayat 53).

No comments:

Post a Comment