Sunday 8 August 2021

MENGAPA FAHAMAN PLURALISME MESTI DITOLAK

Fahaman pluralisme mengancam akidah umat Islam. Pluralisme agama merupakan konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai.

Pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan pluralisme agama.

Pada tahun 2006, Muzakarah Ulama Se-Malaysia turut mengharamkan fahaman tersebut. 

Pengharaman tersebut adalah wajar kerana doktrin yang dibawa oleh pluralisme agama memang menyesatkan.

Antara fahaman ini ialah tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain.  

Maka itu, fahaman ini juga merujuk kepada keadaan hidup bersama secara harmoni di antara penganut agama yang berbeza.

Mereka juga mendakwa penerimaan kebenaran wujud dalam dua atau lebih agama dengan penekanan aspek-aspek yang diterima oleh agama-agama tersebut.

Gerakan pluralisme juga menggalakkan kerjasama dan dialog antara agama-agama yang berbeza bagi meningkatkan persefahaman.  

Islam menghargai toleransi agama lain tetapi tidak menganggap semua agama adalah sama.

Dengan erti kata lain Islam tidak menganggap bahawa Tuhan yang disembah oleh orang Islam adalah Tuhan yang disembah oleh agama lain. 

Penyelesaian Islam terhadap pluralisme agama adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama masing-masing. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun, ayat 6 yang bermaksud: “Untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku.”

Memandangkan pluralisme agama mendakwa semua agama adalah bersifat relatif, maka tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak. 

Mereka menganggap semua agama mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di akhirat.

 

Ia amat bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran  bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Allah SWT.  

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya berserah diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan” (Surah Ali-Imran, ayat 83).

 

 

No comments:

Post a Comment