Saturday 30 October 2021

CARA TANAM POKOK KESUM

 
Pokok kesum memang dikenali ramai. Tumbuhan herba renek yang sering dijadikan bahan penambah perisa dalam masakan seperti laksa, asam pedas atau ulam.

Kesum ataupun nama saintifiknya Polygonum minus adalah tumbuhan aromatik dalam keluarga Polygonaceae, yang tumbuh terutamanya di kawasan beriklim sederhana.

Daun kesum dipercayai kaya dengan beta kerotena, vitamin A dan C serta kandungan mineral seperti kalium, kalsium dan fosforus.

Selain aromanya yang dapat merangsang selera, herba ini dapat mengurangkan bau dan hanyir ikan.

Daun kesum mengandungi khasiat yang agak tinggi, terutamanya karotena dan vitamin C. Kajian turut membuktikan bahawa tumbuhan herba ini, kaya dengan anti oksidan dan memiliki sifat-sifat antimikrob.

Dalam perubatan Melayu pula, daun kesum dipercayai mempunyai khasiat tersendiri. Antara khasiatnya ialah:
- Air rebusan digunakan untuk mengubati masalah kembung perut.
- Dapat membantu menghilangkan kelemumur.
- Kaya dengan beta karotena, vitamin A dan vitamin C.
- Kaya bahan galian seperti kalium, kalsium dan fosforus.
- Bersifat panas dan baik untuk wanita selepas bersalin.
- Dapat membantu mengatasi masalah keputihan wanita.
- Mengekalkan tenaga.
- Awet muda.

Penanaman kesum di kawasan rumah membolehkan ia mudah diambil sekiranya ingin digunakan di dalam masakan.

Terdapat beberapa kaedah yang perlu diambil perhatian bagi memastikan tanaman kesum yang ditanam hidup subur dan boleh dipetik apabila matang.

Benih kesum diambil dari keratan batang. Pastikan pilih keratan batang yang matang dan subur. Elakkan memilih keratan batang yang terlalu muda ataupun yang telah layu. Ukuran keratan yang dingin dijadikan benih sekurang-kurangnya 10 – 15cm.

Kesum merupakan tanaman yang sangat sukakan air. Maka tidak hairanlah sekiranya pernah melihat kesum ditanam di kawasan yang berair terutamanya di tepi paip air ataupun kawasan yang lembap.

Pokok kesum boleh ditanam di atas tanah, di dalam pasu mahupun secara hidroponik.

Jika memilih untuk untuk menanam kesum di tanah, pastikan kawasan tanaman tersebut adalah berdekatan dengan sumber air. Adalah lebih baik sekiranya kawasan tanah tersebut adalah kawasan yang lembap.

Penanaman kesum di dalam pasu merupakan kaedah yang paling digemari kerana ianya mudah. Sebaiknya guna pasu yang mempunyai lubang yang sedikit untuk meminimakan kadar air yang keluar dari pasu.

Hal ini adalah bagi memastikan tanah di dalam pasu sentiasa lembap untuk kesum hidup subur memandangkan pokok kesum sangat sukakan air. Masukkan tanah yang sesuai di dalam pasu dan tanam keratan batang kesum mengikut saiz pasu tersebut.

Pokok kesum memerlukan kadar air yang mencukupi. Siram pokok kesum sekurang-kurangkan sekali sehari. Pastikan tanah lembap sepenuhnya. Baja yang sesuai untuk pokok kesum ialah baja organik seperti baja tahi ayam ataupun baja kompos.

Hasil boleh dipetik setelah pokok membesar dengan subur. Petik batang kesum dengan meninggalkan sedikit bahagian pangkal bawah untuk memudahkan pucuk baharu untuk naik dengan seragam.

Penanaman kesum di kawasan rumah merupakan amalan yang bijak kerana kesum boleh dipetik dengan segar dan mengikut kuantiti yang perlu sahaja.


No comments:

Post a Comment