Islam adalah agama yang sempurna sebagai
pedoman untuk sekalian manusia menjalani kehidupan. Bermula sejak sebelum
manusia itu dilahirkan hingga selepas kematiannya. Semuanya telah dijelaskan
dalam Islam, bahkan apa yang akan berlaku di alam kubur, padang mahsyar, syurga dan neraka turut
dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.
Tidak ada agama lain yang lebih lengkap
petunjuknya berbanding agama Islam. Demikian juga hal kenaikan harga barang.
Hakikatnya krisis kenaikan harga barang telah berlaku ke atas manusia sejak
pada zaman Rasulullah SAW lagi, dan ia telah direkodkan dalam hadis sahih.
Daripada Anas bin Malik, dia berkata,
“Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat)
berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah menjadi mahal maka tetapkanlah harga
untuk kami.’” (Riwayat Abu Daud)
Peristiwa ini berlaku apabila harga barang
di pasar di Madinah naik, maka para sahabat bertemu Rasulullah SAW meminta
supaya Baginda menetapkan harga supaya orang-orang miskin dapat membeli barang
dengan harga yang mereka mampu.
Lalu jawab Rasulullah dengan sabda
bermaksud: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga itu, Dialah Allah
yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, serta Dialah Allah yang
memberikan rezeki. Dan sesungguhnya aku berharap agar aku bertemu Allah SWT
dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku di dalam
kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Hadis riwayat Abu
Daud)
Adakah kenaikan harga barang pada zaman
Rasulullah SAW itu tanda kegagalan baginda sebagai pemimpin? Tentu itu bukan
sebabnya.
Kenaikan harga adalah ujian yang Allah SWT timpakan
ke atas manusia. Kesempitan harta menjadi lumrah dan kewajipan manusia apabila
berdepan dengannya adalah bersabar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pasti
Kami menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa,
dan buah-buahan, dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah
al-Baqarah, ayat 155)
Maka jangan terlalu bingung atau
menyalahkan pihak lain atas kesempitan, sebaliknya sikap mukmin adalah melihat
kesalahan diri sendiri, memperbanyak taubat serta syukur atas nikmat dengan
melakukan kebaikan dan membantu orang yang memerlukan. Dengan demikian
moga-moga Allah SWT angkat musibah dan tambahkan nikmat-Nya kepada kita.
Menyalahkan orang lain tidak akan
memperbaiki keadaan. Berusahalah lebih gigih untuk mendapat tambahan rezeki. Allah
SWT yang melapangkan rezeki seseorang hamba dan Dia juga yang menyempitkan
rezeki mana-mana hamba yang dikehendaki-Nya.
Ini selari dengan firman Allah SWT yang
bermaksud: “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia
kehendaki.” (Surah al-Rad, ayat 26)
No comments:
Post a Comment