Thursday, 6 February 2025

KEISTIMEWAAN SENI SULAM KELINGKAN

 
Kain kelingkan adalah sejenis kain yang berhias teknik tekat atau sulam dengan menggunakan kepingan logam “kelingkan” atau “kerikam” warna emas dan perak. Kepingan logam kerikam juga dikenali benang kasar daripada logam.
 
Kain jenis ini biasanya dijadikan selendang, manto atau selayah yang dipakai menutup kepala atau bahu, khusus bagi melengkapi pakaian adat atau persalinan pengantin tradisi.
 
Kain tenunan kelingkan dahulunya cukup terkenal di Kelantan, malah ada jurukelinagkan diraja untuk kerabat. Walaupun masih digunakan di kalangan kerabat diraja Kelantan, namun kini semakin kurang dikenali. Bahkan, jika disebut perkataan “kelingkan”, banyak orang tidak tahu apa maknanya.
 
Justeru, ada pihak yang cuba untuk menghidupkan kemahiran menyulam kelingkan dengan mengadak kursus dan pendedahan mengenai agar tradisi kelingkang, warisan seni halus agar tidak ditelan zaman.
 
Selendang kelingkan diperbuat daripada benang logam pipih bersadur emas, perak, dan tembaga, menjadikan hasil seninya bernilai tinggi serta eksklusif.
 
Proses pembuatannya yang rumit memerlukan kemahiran tinggi, menjadikan kelingkan bukan sekadar aksesori, tetapi simbol status dan warisan budaya masyarakat Melayu.
 
Hasil seni sulaman kelingkan masih mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan peminat tenunan tradisional di Malaysia.
 
Diperbuat daripada tenunan benang plat logam rata bersadur emas atau perak, sulaman kelingkan berada pada kelasnya tersendiri.
 
Tidak hairanlah jika pada zaman dahulu, sulaman kelingkan terutama pada selendang hanya dipakai kerabat diraja dan golongan bangsawan sahaja.
 
Tetapi kini, seiring perkembangan semasa, ia dimodenkan menjadi tudung, alas dulang, tampuk bantal serta hiasan layah bagi pengantin wanita.
 
Keunikan dan keistimewaan sulaman kelingkan terletak pada ketelitian proses tenunannya.

Teknik sulaman itu tidak menggunakan sebarang peralatan canggih tetapi teknik jahitan tikam tembus melalui jahitan tangan memerlukan kreativiti, tertib dan konsentrasi tinggi.
 
Ukiran motif dan corak flora perlu dilukis atas fabrik yang diinginkan, biasanya tekstil ringan seperti sifon kemudian barulah sulaman dilakukan.
 
Jarum sulaman yang digunakan juga bukan jenis jarum biasa sebaliknya ia ditempah khas daripada tukang emas.
 
Selepas ditenun, tenunan akan ditindih pula dengan kulit siput supaya ia kemas dan tidak terurai.
 
Sesuai dengan kerumitan pembuatan dan penggunaan benang perak atau emas, harga tekstil yang disulam kelingkan juga agak tinggi mencecah ribuan ringgit bergantung kepada corak serta benang logamnya. Bahkan, ada bernilai RM20 ribu untuk selendang sepanjang tiga meter.
 
Keistimewaan sulaman kelingkan ada pada hasil sulamannya yang nampak sama sahaja sama ada dari depan atau belakang.
 
Tidak pasti nama asal “kelingkan). Namun ada yang mendakwa ia lahir daripada perkataan “clinquant” bahasa Perancis untuk menggambarkan sulaman benang logam pipih disadur emas dan perak.
 
Kain kelingkan perlu disimpan lebih berhati-hati bimbang akan bertukar warna hitam kerana ia bersifat logam.
 
Kain berkenaan tidak boleh dibasuh, cukup sekadar dijemur sekejap selepas memakainya dan kemudian dibalut menggunakan kertas sebelum disimpan ke dalam kotak.
 
Juga, kain kelingkan tidak boleh disterika. Kelingkan adalah sejenis kain yang boleh disimpan sehingga ratusan tahun jika kena cara, malah nilainya juga seperti emas.
 
 
Cik Siti menyulam bunga,
Kain baldu disulam kelingkan;
Sudah didapati tidak berguna,
Kenapa tak mahu tuan lepaskan
Kurik Kundi Merah Saga

No comments:

Post a Comment