Friday, 28 February 2020

SEJARAH PALAPES DI PUSAT PENGAJIAN TINGGI

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) merupakan kegiatan kokurikulum berbentuk ketenteraan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita untuk melahirkan pegawai simpanan angkatan tentera.

Program seumpama ini juga dijalankan di banyak negara di seluruh dunia. Contohnya di Indonesia ia dikenali sebagai Rejimen Mahasiswa, Australia (Univerisity Regiment of Australia), Amerika Syarikat (Reserve Officers Training Corp) dan di Bangladesh dikenali National Cadet Corp.

Penubuhan PALAPES di IPTA merupakan satu manifestasi kepentingan penglibatan semua peringkat lapisan masyarakat, terutama di kalangan cerdikawan dan tenaga pakar dalam semua bidang, dalam pasukan simpanan angkatan tentera.

Pasukan simpanan tentera amat diperlukan sebagai benteng pertahanan kedua negara untuk membantu anggota tentera tetap. Keberkesanan dan kepentingan ini terbukti ketika negara mengalami zaman darurat dahulu. 

Pada ketika itu, kerajaan telah menubuhkan Pengawal Kampung (Home Guard) yang terdiri daripada penduduk yang secara sukarela menyumbangkan tenaga untuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis. 

Kewujudan Pengawal Kampung banyak  membantu pihak tentera dan polis mengawal keamanan yang secara langsung menyekat niat jahat komunis untuk menguasai negara. 

Setelah terbukti keberkesanan Pengawal Kampung, maka parlimen telah meluluskan Ordinan Askar Wataniah 1958 untuk memperkenalkan sebuah organisasi yang lebih tersusun, berkesan dan berkeupayaan sebagai pasukan simpanan kepada angkatan tentera.

Hasil Ordinan Askar Wataniah1958, maka tertubuhlah Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) yang secara langsung berada di bawah pentadbiran angkatan tentera. Ramai bekas ahli Pengawal Kampung menyertai PSTD.

Di pusat IPTA, penglibatan pensyarah dalam mahasiswa mempertahankan negara secara ketenteraan bermula pada tahun 1963 ketika ketika negara berkonfrantasi dengan Indonesia. 

Pada 3 April 1965, di Universiti  Malaya  ditubuhkan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Universiti Malaya. Pada awalnya penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester.

Tragedi 13 Mei 1969 menyaksikan Kompeni ini berkembang ke IPTA lain dengan penubuhan Kompeni A di ITM, Kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya.

Berikutan dengan semangat juang yang tinggi dikalangan pelajar-pelajar IPTA ini, Brigadier General Dato' Abdul As Ismail selaku Pengarah Askar Wataniah ketika itu telah mengambil inisiatif berbincang dengan Naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM ketika itu untuk menubuhkan Reserve Officer Training Unit (ROTU).

Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan ROTU atau Reserve Officer Training Unit dengan objektif untuk melahirkan Pegawai-pegawai sukarela dari kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar di IPTA.

Pada 26 Februari 1979, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera Darat dan dihadiri oleh Naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM telah diadakan untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing.

Universiti Kebangsaan Malaysia mendahului pusat pengajian tinggi lain menubuhkan PALAPES iaitu pada 1 Julai 1979 dan diikuti IPTA lain.  Kewujudan PALAPES di IPTA bukan sahaja tanda sumbangan luhur warga kampus kepada keperluan pertahanan negara, malah ia memainkan peranan penting pembentukan sahsiah siswa.

Program PALAPES dengan segala ciri ketenteraan telah berjaya membentuk siswa yang memiliki kepimpinan, berilmu, berdisiplin, beriman, cinta negara, jati diri, gagah dan setia.

Gambar - PALAPES UPM tahun 1985

No comments:

Post a Comment