Media sosial diumpamakan seperti lidah.
Melaluinya manusia boleh menyampaikan apa yang tersirat di hati. Bahkan di
media sosial membolehkan sesuatu ucapan, perkataan, gambar dan video disebarkan
dan diulang berkali-kali.
Maka itu, media sosial boleh diumpamakan seperti
mulut dalam memahami apa yang boleh dilakukan atau tidak berdasarkan kepada
perintah agama.
Islam menggalakkan kita lebih banyak
berdiam diri daripada berkata-kata. Kerana apa? Jawapannya mudah kerana
dikhuatiri akan lebih banyak fitnah yang timbul berbanding manfaatnya.
Berdiam diri bukan maksud mengalah, tetapi
lebih berhati-hati agar tidak timbul perkara lain yang lebih memberi kesan buruk.
Sesuatu yang lebih buruk perlu dicegah daripada berlaku.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang
siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia berkata baik atau
diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis ini ternyata jelas
memperlihatkan akan keperluan manusia menjaga lisannya. Ini kerana diam atau
orang yang menjaga pertuturannya adalah termasuk dalam etika kebaikan yang
sangat diutamakan di dalam Islam.
Berdiam diri juga dapat meninggalkan
perkara-perkara yang tidak bermanfaat, menahan diri daripada marah dan juga
menjaga hubungan silaturrahim sesama saudara seislamnya.
Oleh sebab itu, Imam Syafie menurut sudut
pandangannya menerangkan bahawa apabila seseorang itu hendak berbicara, maka
hendaklah berfikir terlebih dahulu. Jika jelas bahawa kata-katanya itu akan
membawa kemaslahatan, maka berbicaralah. Namun, jika sebaliknya, maka eloklah
berdiam diri.
Maka, begitu juga di media sosial. Menulis
dan membuat kiriman atau memajukan serta membuat komen jika difikir bahawa
wajar berbuat demikian. Sebaliknya, jauhkan daripada melakukan sebarang
aktiviti di media sosial yang boleh mencetuskan perkara tidak baik.
No comments:
Post a Comment