Thursday 15 February 2018

GULA PUNCA PENYAKIT BAHAYA


Rakyat Malaysia dicatatkan sebagai pengguna gula kadar tertinggi dunia. Boleh dikatakan hampir semua jenis makanan dicampurkan dengan gula untuk menimbulkan rasa manis.

Setiap orang perlu berhati-hati kerana pengambilan secara berlebihan bakal mengundang pelbagai penyakit kronik. 

Makanan yang manis memang sedap, tetapi ia adalah racun kepada kesihatan. 

Orang ramai perlu peka dengan nilai indeks jumlah gula dalam sesuatu produk makanan. Jika tinggi indeks itu, maka gula ringkas daripada makanan kita akan masuk cepat ke dalam darah. 

Justeru, ia akan meningkatkan gula dan insulin dalam darah sehingga memudaratkan kesihatan kita.

Gula ringkas tersebut terhasil daripada dua sumber iaitu karbohidrat kompleks dan karbohidrat ringkas yang akhirnya kedua-dua itu membentuk tenaga.

Karbohidrat kompleks terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, bijian-bijian serta makanan yang tinggi serat. 

Karbohidrat kompleks mempunyai indeks jumlah gula yang sangat rendah dan mengambil masa yang lama untuk masuk ke dalam darah.

Namun, jika mengambil perahan jus sahaja, maka indeks jumlah gula  akan meningkat kerana tidak mempunyai serat bersamanya.

Berbanding karbohidrat ringkas yang terdiri daripada makanan diproses seperti gula pasir, tepung, roti canai, beras putih, biskut dan teh tarik, nilai indeks tersebut sangat tinggi dan tidak baik untuk kesihatan.

Indeks kadar gula yang tinggi akan menyebabkan obesiti dan sukar mengawal penyakit. Mereka mengalami obesiti mudah terdedah kepada bahaya mengidap kencing manis.

Pengidap kencing manis terdedah kepada pesakit buah pinggang pula dan seterusnya menyebabkan kerosakan organ yang lain. 

Dengan kata lain, amalan mengambil gula secara berlebihan akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit bahaya.

Pengambilan gula bagi orang dewasa ialah sembilan sudu teh manakala kanak-kanak adalah enam sudu teh sehari. Jumlah itu termasuk yang berada di dalam makanan atau minuman.

Untuk menjaga kesihatan, kurangkan jumlah pengambilan gula harian, terutama dalam minuman dan makanan.

No comments:

Post a Comment