Friday, 25 May 2018

MENU AYAM PUSING BEREMPAH DAPAT SAMBUTAN

Peniaga makanan sentiasa membuat inovasi dalam penyediaan resipi. Menu nampak sama, tetapi berbeza rasa dan aroma apabila ada penambahan bahan dan cara pembuatan. Penyediaan ayam pusing asalnya sama dengan ayam bakar, tetapi telah melalui perubahan dari segi pembakaran.

Dinamakan ayam pusing sebab ketika membakar ayam itu, ia sentiasa berpusing menggunakan alat yang direka khas ketika dipanggang di atas bara. Ayam pusing dibakar lengkap seekor dengan bahagian dalam seperti hati, perut dan pedal dibuang.

Ayam diikatkan beberapa ekor pada batang besi dan dibakar secara berpusing-pusing supaya pembakaran sekata di seluruh bahagian daging ayam.

Ayam perlu diperap dengan rempah ratus selama beberapa jam sebelum dipanggang. Masa perap lama diperlukan untuk memastikan rempah ratus menyerap di dalam daging ayam. Jenis rempah ratus digunakan menentukan aroma rasa ayam pusing yang masa.

Ayam pusing dipanggang sama ada cara tradisi menggunakan arang dan cara moden menggunakan elektrik. Untuk mendapat aroma bau dan rasa memikat, cara panggang menggunakan arang jadi pilihan peniaga.

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga ayam pusing lebih gemar menggunakan pembakar elektrik kerana lebih mudah dan kebersihan yang lebih terjamin. 

Biasanya peniaga ayam pusing menjual secara seekor atau separuh. Selain ayam, pembeli akan disediakan dengan pencicih. Ayam pusing enak dimakan bersama nasi atau diratah bersama pencicih.  

No comments:

Post a Comment