Thursday 31 May 2018

AL QURAN DIJAMIN KEKAL ASLI SAMPAI KIAMAT

Al-Quran kitab suci bagi umat Islam dijamin tidak diubah dan kekal sehingga ke hari kiamat. Sesungguhnya terlalu ba­nyak keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam al-Quran. Kitab suci itu adalah petunjuk bagi semua umat manusia daripada segala kesesatan. Al-Quran juga menjadi penyuluh daripada sebarang kegelapan.

Al-Quran adalah pelengkap kepada kitab-kitab terdahulu yang pernah diturun­kan kepada para nabi dan rasul sebelum Rasulullah. Taurat diturunkan kepada Nabi Musa, Zabur diturunkan kepada Nabi Daud dan Injil kepada Nabi Isa.

Bagaimanapun keaslian kitab-kitab tersebut seperti Injil dirosakkan serta dicemar oleh pindaan yang dilakukan oleh manusia berkepentingan hingga wujud beberapa versi.

Sesungguhnya, Al-Quran kitab agung yang tiada tandingan. Sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad, al-Quran terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindahan dan tokok tambah.

Biarpun ada pihak cuba melakukan khianat terhadap al-Quran, namun usaha itu tidak berjaya. Pindaan dan tokok tambah yang dilakukan segera disedari oleh umat Islam dan segera menghapuskan kepalsuan yang cuba dicipta oleh musuh Islam itu.

Al-Quran tidak pernah diubah walaupun satu titik huruf kerana Allah telah memberi jaminan untuk memeliharanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)

Keaslian al-Quran tetap terpelihara dan kekal sehingga akhirat meskipun penurunannya telah berlaku sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Inilah hebatnya al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah yang tiada tandingannya.

Firman Allah yang bermaksud; “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa al-Quran mampu menolong kita sebaik sahaja meninggalkan alam yang fana ini. Pada masa itu tiada apa yang dapat membantu kita kecuali amal ibadat yang dilakukan sepanjang hidup kita di dunia ini termasuk membaca al-Quran.

Cuba kita lihat corak kehidup­an Rasulullah dan para sahabat. Asas kehidupan baginda dan para sahabat adalah al-Quran. Kitab suci itu bukan setakat dibaca malah segala pengajaran dan pe­rintah yang terdapat di dalamnya dilaksanakan dengan penuh taat.

No comments:

Post a Comment