Thursday 31 May 2018

TARIKH PERISTIWA NUZUL AL QURAN

Satu peritiwa penting pada bulan Ramadan ialah Nuzul al-Quran iaitu bermulanya penurunan al-Quran ke atas Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan.

Ayat mula-mula diturunkan adalah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Ketika itu Rasulullah berada di Gua Hira. Sejak daripada peristiwa itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah sebelum lengkap sepenuhnya pada 10 Hijrah.

Secara umumnya al-Quran mempunyai 114 surah dan 6,666 ayat. Namun begitu pendapat yang paling masyhur tentang jumlah ayat al-Quran adalah lebih daripada 6,200 ayat cuma bilangannya secara tepat berbeza antara satu ulama dengan ulama yang lain.

Dari segi susunan pula al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas. Surah yang terpanjang pula adalah surah al-Baqarah (287 ayat) dan terpendek surah al-Kauthar (tiga ayat).

Penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus dan beransur-ansur. Bagaimanapun terdapat perselisihan pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekali gus. Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan fi Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn Abbas, Hakim dan al-Nasaie hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja.

Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril selama 23 tahun dan kemudian disampaikan kepada semua sahabat dan umat baginda.

No comments:

Post a Comment