Monday 11 June 2018

KEBAIKAN AMAL KESEDERHANAAN DALAM HIDUP

Islam ialah agama pertengahan yang menyarankan kita sentiasa berada pada jalan lurus. Apa sahaja dilakukan dengan berhemah dan mencari keredaan Allah. Perbuatan melampau mudah mendorong melakukan secara tidak hak. Banyak kesan buruk akibat perbuatan keterlaluan.  

Firman Allah SWT, "Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang mereka telah tersesat jauh) dari jalan yang betul." (Surah al-Maidah, ayat 77)

Biarpun kita dituntut meningkatkan ibadat untuk bekalan hidup di akhirat, namun tidak pula melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan.

Daripada Abu Hurairah katanya: “Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah.

Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung kepada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan sesuai dengan perintah Allah dan mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah SAW)

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Maksud ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan diri seperti mencari nafkah menyara ahli keluarga.

Perkara itu ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam menyuruh manusia berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat.

Oleh itu, mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi. Begitu juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran Islam yang benar, dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti dengan hati penuh ikhlas.

Pendakwah juga dilarang menimbulkan rasa sukar untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya ketika menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit.

Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

Firman Allah SWT, "Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Syeikh Muhammad Mutawalli Al-Sya'rawi dalam tafsirnya menyebut, ayat ini adalah ingatan Allah SWT bahawa antara nikmat-Nya ialah menjadikan kita umattan-wasatan iaitu umat pertengahan, adil dan pilihan. Setiap disyariatkan SWT dikategorikan sebagai nikmat kepada orang yang beriman.

Ketika kedatangan Islam, orang Yahudi dikenali sebagai manusia yang sangat rakus dengan kemewahan dunia. Mereka mengumpul kekayaan dengan cara batil melalui riba dan cara yang haram lainnya.

Orang Nasrani pula memandang kebaikan itu dengan cara meninggalkan segala bentuk kesenangan dan kekayaan serta menumpukan sepenuh-nya kepada cara hidup rahib. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW menyanggah kedua-dua jalan hidup ini.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya harta ini ibarat buah segar yang manis, maka barang siapa yang mengambilnya dengan hati yang lapang (tidak rakus dan memaksa orang lain) maka dia akan diberkati untuknya, dan barang siapa yang mengambilnya dengan hati yang rakus (memaksa orang lain) maka dia tidak akan diberkati untuknya ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya Islam menjadikan pertengahan ini sebagai keutamaan dalam segala perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia. Dalam urusan ibadah, Islam melarang beribadah secara berlebihan sehingga sampai ke peringkat memudaratkan diri, manakala dalam urusan pengurusan kehidupan, dilarang melakukan pembaziran dan penjimatan yang melampau.

Firman Allah SWT, "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al- Furqan, ayat 67)

Kesederhanaan dan pertengahan juga memberi maksud keadilan seperti sabda Rasulullah SAW, "(Pertengahan itu keadilan, kami jadikan kamu umat pertengahan)." (Riwayat Ahmad)

Dalam menjalan hubungan dengan bukan Islam, nilai keadilan ini tetap menjadi keutamaan dan dipertahankan. Kesederhanaan dapat mengelak berlaku perbuatan ekstremis dan penindasan.

Firman Allah SWT, "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Inti pati kesederhanaan ajaran Islam ini diungkapkan begitu indah oleh sahabat bernama Rubie bin Amir yang ditanya panglima perang Parsi ketika itu, Rostum, tujuan utama kedatangan beliau.

Rubie menjawab: "Allah yang mengutuskan kami untuk kami keluarkan sesiapa yang dikehendaki Allah daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan hidup dunia kepada keluasan hidup dunia dan akhirat."

Pertengahan serta kesederhanaan Islam meliputi hubungan antara agama dan dunia, antara dunia dan akhirat, antara pemimpin dan rakyat, antara manusia dan alam, antara kebenaran dan kekuatan serta antara nas agama dan pemikiran manusia. Allah yang menurunkan al-Quran maka Dia juga yang mengurniakan al hikmah.

Firman Allah SWT, "Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar." (Surah an-Nisa, ayat 113)

Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi ke atas umatnya manakala umat ini juga akan ditanya apakah mereka menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain kerana seluruh umat wajib menyampaikan serta menzahirkan keindahan dan keadilan Islam kepada semua umat manusia.

No comments:

Post a Comment