Friday 13 July 2018

BUKIT MARAK TEMPAT BERSEMAYAM PUTERI SAADONG

Bukit Marak terkenal sebagai lokasi bersejarah yang dikaitkan dengan Puteri Saadong. Bukit Marak yang berada dalam daerah (mukim) Bekelam didakwa pernah menjadi tempat bersemayam Puteri Saadong. 

Puteri Saadong anak angkat kepada Che Siti Wan Kembang, raja pemerintah Kelantan pada zaman dahulu. Bukit Marak terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kota Bharu dan hanya kira-kira 10 kilometer dari bandar Kubang Kerian.

Puteri Saadong berkahwin dengan Raja Abdullah dan bersemayam di Kota Mahligai. Namun, kehidupan suami isteri Puteri Saadong dengan Raja Abdullah tidak lama kerana selepas itu Puteri Saadong terpaksa menyerah diri kepada Raja Siam yang terlalu kagum dengan kecantikan Puteri Saadong. 

Tindakan Puteri Saadong itu bertujuan untuk mengelak peperangan lebih teruk antara Kelantan dan Siam akibat keinginan Raja Siam terhadap Puteri Saadong.

Ketika hendak bertolak ke Siam, Puteri Saadong telah berpesan kepada Raja Abdullah agar menunggu kepulangannya semula ke Kota Mahligai. 

Sepanjang berada di Siam, Puteri Saadong tidak mudah tunduk pada kehendak dan pujukan Raja Siam. Puteri Saadong mengatur strategi bagi menyelamatkan diri. 

Puteri Saadong menggunakan helah dengan mengatakan tubuhnya tidak boleh disentuh Raja Siam sehingga terpaksa disediakan sebuah istana untuknya bersemayam.

Pada masa sama, Raja Siam diserang penyakit kudis yang sukar diubati. Puteri Saadong berjaya menyembuhkan penyakit Raja Siam dan membuat permintaan supaya dia dihantar balik ke Kelantan.

Namun, sekembalinya ke kota Mahligai, dia menjadi berang dan marah dengan tindakan Raja Abdullah yang memungkiri janjinya untuk setia menantinya. Raja Abdullah telah berkahwin lain. 

Pertelingkahan yang berlaku antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah akhirnya menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah.

Berhubung kemangkatan Raja Abdullah, terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai punca yang menyebabkan kematian suami Puteri Saadong itu.

Ada pendapat mengatakan wujudnya konspirasi atau pakatan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang sengaja mencetuskan ketegangan di antara suami isteri itu yang seterusnya menyebabkan Puteri Saadong menikam Raja Abdullah. Kematian Raja Abdullah seolah-olah dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.

Ada pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu kerana dia disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik. 

Justeru, mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya. Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong membawa diri ke Bukit Marak bersama dayang-dayang termasuk seorang pengawal yang dikenali Awang Selamat.

Meskipun Puteri Saadong bersemayam di bukit itu, namun perhubungannya dengan raja-raja Jembal tidak terputus. Setiap kali majlis keramaian diadakan, dia pasti diundang untuk hadir bersama.

Beberapa bulan kemudian, Raja Abdul Rahim (adik Raja Abdullah) dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 1671 (dengan gelaran Sultan Abdul Rahim) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat keputusan untuk turun takhta.

Namun, sepanjang pemerintahan Sultan Abdul Rahim, pelbagai bentuk kezaliman berlaku menyebabkan rakyat terpaksa mengadu dan merayu Puteri Saadong di Bukit Marak supaya campur tangan dalam usaha mengembalikan semula keamanan di Kota Mahligai.

Kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman akhirnya mengakibatkan Sultan Abdul Rahim terbunuh di tepi Tasik Lelayang. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Sultan Abdul Rahim mati dibunuh atas arahan sepupunya, Raja Kechil Sulong.

Dengan kemangkatan Sultan Abdul Rahim, maka berakhirnya kerajaan yang berpusat di Kota Mahligai dan selepas itu wujud kembali kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675. Sultan Umar merupakan adik kepada Raja Loyor (Sultan Adiludin) iaitu bapa kepada Puteri Saadong.

Sepanjang pemerintahan Sultan Umar, tiada sebarang permusuhan mahupun pergaduhan tercetus di antara negara jiran, malah rakyat hidup dalam keadaan aman damai. 

Bapa saudara Puteri Saadong itu juga melakukan pelbagai bentuk pembangunan termasuk membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal. Baginda melakukan lawatan kerja ke seluruh kawasan dan jajahan takluk dan membina hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti Patani, China dan Jawa.




No comments:

Post a Comment