Tuesday 10 July 2018

BERHATI-HATI AGAR PAHALA TIDAK TERHAPUS AKIBAT MENGUMPAT

Antara amalan yang mesti dielakkan ialah mengumpat kerana dosa mengumpat memberi kerugian amat besar di akhirat. Rekod amalan orang yang mengumpat dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. 

Kita sepatutnya berusaha menambahkan pahala, bukannya menyebabkan dia berkurangan. Pahala yang dikumpulkan akan musnah seperti mana mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Betapa ruginya hidup ini jika kebaikan yang dilakukan dihapuskan oleh perbuatan mengumpat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud) 

Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut tentang keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain dengan tujuan menodai atau mendatangkan kesusahan, kerugian, perasaan malu dan mendapat nama buruk akibat cerita itu.

Rasulullah SAW telah menjelaskan mengenai apa itu mengumpat melalui sabda yang bermaksud: “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.”- (Hadis riwayat Muslim)

Bahan cerita menjadi umpatan itu sama ada berkenaan fizikal, perangai, perbuatan dan kebiasaan yang melambangkan keburukan diri. Menceritakan keburukan seseorang kepada individu lain biarpun tanpa menyebut namanya juga termasuk dalam perbuatan mengumpat. 

Banyak orang beranggapan tidak mengumpat apabila tidak menyebut nama orang orang diceritakan keburukan itu. Sedangkan dia sudah menjangkakan orang lain mengetahui siapakan sebenarnya yang dimaksudkan itu. Lainlah jika cerita benar itu tidak mungkin ada orang mengetahui siapa yang dimaksudkan. Tetapi, dalam keadaan cerita itu perlu bagi mengelak orang lain mendapat keadaan buruk yang dilakukan oleh seseorang, maka identiti orang itu perlu dinyatakan dengan jelas.        

Perbuatan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara seagama. Begitulah buruk dan hina perbuatan mengumpat. Tentu sekali kita tidak sanggup makan bangkai manusia, kalaupun bukan saudara sendiri. Hanya manusia hilang akal sanggup makan bangkai manusia.  

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah sesetengah-setengah kamu mengumpat setengah daripada kamu. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentunya kamu benci memakannya.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Satu perkara yang perlu diberi perhatian mengenai kesalahan mengumpat ialah dosa itu tidak terhapus biarpun pelakunya bertaubat. Dosa mengumpat hanya terhapus jika diampunkan oleh orang yang diumpatnya. Permohonan maaf itu hendaklah secara khusus yang mana perlu menjelaskan perkara apa yang diumpatkan dan kepada siapa disebarkan cerita umpatan itu. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Dunya dan Ibnu Habban).

Persoalannya, mungkinkah kita berkesempatan untuk meminta ampun dengan orang yang diumpat? Tambah lagi orang yang diumpat itu tidak pernah kita temui, tetapi sekadar kenal melalui cerita orang lain atau media massa. Sanggupkah kita menceritakan kepada orang yang diumpat apakah perkara umpatan yang telah kita sebarkan itu? 

Mengumpat sudah terlalu biasa dilakukan dan telah membudayakan dalam kehidupan. Sebab itu kita seperti tidak merasakan dosa perbuatan mengumpat. Perkara ini berpunca ceteknya kefahaman mengenai hukum agama. Hakikat inilah yang perlu direnungkan oleh kita semua agar dapat menemui jalan kebenaran. 

Berusahlah mengelak diri daripada perangkap amalan mengumpat. Kejayaan seseorang menjauhkan amalan buruk bergantung kepada kesungguhannya untuk melakukannya. Berhati-hati ketika bercakap adalah cara terbaik untuk mengelak diri daripada mengumpat.

Latihlah diri untuk mengawal lidah daripada bercakap sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain. Pastikan juga apa-apa yang diucapkan memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. 

No comments:

Post a Comment