Tuesday 3 July 2018

SEJARAH JALUR GEMILANG

Setiap negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera. Bendera menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali sesebuah negara berdasarkan benderanya. 

Sejarah Jalur Gemilang bermula apabila akhbar The Malay Mail menjalankan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.

Persekutuan Tanah Melayu perlu memiliki bendera sendiri kerana negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika itu bendera rasmi di negara kita adalah Union Jack iaitu bendera negara British yang menjajah negara kita.

Pada 28 November 1949, majoriti rakyat memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya, Johor bernama Mohamad Hamzah. Reka bentuk itu telah dibuat beberapa pindaan dan telah mendapat pekenan Mesyuarat Majlis Raja-rajya pada 23 Febuari 1950.

Antara perubahan dibuat ialah menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi Raja-Raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Selanjutnya, pada 19 Mei 1950, kerajaan British telah meluluskan reka bentuk berdera itu, sama seperti Jalur Gemilang sekarang, Cuma bezanya pada masa itu hanya terdapat 11 jalur merah putih yang melambangkan terdapat 11 negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.  Dengan penubuhan Malaysia pada 1963, bendera itu diubah suai sewajarnya menjadi bendera Malaysia.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan secara rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh semua raja-raja Melayu, pembesar Melayu dan wakil kerajaan British. 

Namun, Jalur Gemilang belum lagi dianggap bendera kepada sebuah negara berdaulat pada ketika itu kerana Persekutuan Tanah Melayu masih dijajah oleh Brisith. Jalur Gemilang menjadi saksi kedaulatan negara apabila kali pertama dikibarkan di Dataran Merdeka pada jam 12.00 malam 31 Ogos 1957 dan serentak dengan itu bendera Union Jack diturunkan sebagai tanda tamatnya pemerintahan British di negara kita.

Bendera negara berkibar dengan penuh penghormatan sejak 1950. Hanya pada 1995 barulah ada satu inisiatif untuk memberi nama khas atau nama rasmi kepadanya. Ilham itu dicetuskan bekas pegawai kerajaan, Datuk Hashim Mat Dris.

Menurut pendapatnya pada masa itu, selepas 45 tahun berkibar dengan megah, tetapi tanpa satu nama boleh dibanggakan. Justeru, sudah tiba masanya bendera Malaysia diberi satu nama rasmi seperti dimiliki bendera negara tertentu seperti Indonesia yang digelar ‘Sang Saka Merah Putih’, United Kingdom dinamakan ‘Union Jack’, Amerika Syarikat (Star Spangled Banner) dan bendera Perancis (Tricolor).

Hashim ketika mengemukakan ilham itu kepada Jabatan Perdana Menteri, berpendapat nama yang sesuai untuk bendera negara ialah ‘Si Tuah’ sempena nama hulubalang Melayu Hang Tuah yang berani, gagah perkasa dan setia kepada Raja.

Nama ‘Si Tuah’ juga melambangkan tuah sebuah negara dikurniakan Tuhan dengan kehidupan aman makmur dengan pemimpin bijaksana yang memerintah dengan adil dan saksama.

Cadangan Hashim itu kemudian dibawa kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada 11 Julai 1995, Dr Mahathir bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih nama sesuai untuk bendera Malaysia. Penyertaan bagi peraduan terbabit dihadkan kepada pihak tertentu saja iaitu kementerian dan jabatan kerajaan. Berikutan itu, Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia ditubuhkan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara masa itu, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid. Pada mesyuarat 1 April 1996, jawatankuasa itu bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat menerusi peraduan, tetapi memadai dipilih daripada senarai nama dikemukakan oleh ahli jawatankuasa.

Ini turut dipersetujui Dr Mahathir. Berikutan itu, nama jawatankuasa ditukar kepada Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia. Jawatankuasa itu menimbang sebanyak 75 cadangan nama.

Selepas penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama itu dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.

Bagaimanapun, apabila dikemukakan untuk mendapat persetujuan Kabinet pada 11 September 1996, nama itu gagal memikat hati Jemaah Menteri. Jemaah Menteri kemudian meminta supaya cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan Jemaah Menteri itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama baru.

Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Halim Ali, sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Selepas membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan iaitu ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’, dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.

Ahli mesyuarat sepakat memilih tiga nama itu kerana ia didapati mempunyai ciri emotif yang boleh menggerakkan semangat patriotisme rakyat serta kesetiaan kepada negara, rangkai katanya adalah asli dan menggunakan bahasa kebangsaan yang ringkas, menarik dan mudah dijelaskan maksudnya.

Apabila ketiga-tiga cadangan nama itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai 1997, Jemaah Menteri bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’.

Perisytiharan ‘Jalur Gemilang’ sebagai nama bendera Malaysia dibuat Dr Mahathir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ketika upacara Di Ambang Merdeka sempena Perayaan Hari Kebangsaan pada 30 Ogos 1997, jam 11.58 malam.

Nama itu dicadangkan Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).

Secara ringkasnya, perkataan ‘Jalur’ dalam nama ‘Jalur Gemilang’ melambangkan jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju serta arah sama diikuti oleh rakyat negara ini, manakala ‘Gemilang’ melambangkan keadaan bercahaya, terang benderang dan cemerlang.

Oleh itu, ‘Jalur Gemilang’ adalah lambang aspirasi rakyat Malaysia dalam mengharungi kemajuan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi membina sebuah negara cemerlang, gemilang dan terbilang.

Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan negara.  Bendera tidak sekadar sehelai kain yang diwarnakan, tetapi menjadi lambang yang menunjukkan kedaulatana sesebuah negeri atau negara. Pujangga berkata: "bendera adalah suatu perkara mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Namun, kerananya manusia sanggup bermati-matian."

Bendera dikaitkan dengan semangat dan kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam peperangan pada zaman dahulu. Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan berada di bahagian depan pertempuran.  

Jika sekiranya pembawa bendera maut atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil oleh tentera lain. Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah kalah. 

Malang sekali di kalangan rakyat yang tidak bertanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang ketika melakukan perkara tidak bermoral seperti menyertai lumba haram.

Tentulah sedih jika melihat Jalur Gemilang tidak dihormati. Contohnya apabila bendera dikibarkan dalam keadaan lusuh warnanya, malah ada yang telah koyak dan sukar dipanggil bendera.   

Jalur Gemilang dibiarkan di kedudukannya sepanjang masa tanpa diturunkan, termasuk waktu malam, hujan dan panas. Sebab itu keadaan menjadi lusuh dan koyak.  Sepatutnya, bendera dinaikkan pada waktu pagi dan diturunkan pada waktu malam. Jika ada Jalur Gemilang terjatuh, tidak ada yang mengangkat kembali di tempat sepatutnya.

Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa dan di sekolah-sekolah mengikut waktu kelas pertama dan menurunkan selepas kelas terakhir tamat.   

Manakala dalam tradisi tentera di negara kita, Jalur Gemilang dikibarkan mulai pukul 7.00 pagi dan diturunkan pada pukul 7.00 malam.

Marilah kita bersama-sama memberi penghormatan sewajarnya terhadap Jalur Gemilang.

No comments:

Post a Comment