Friday 6 July 2018

KIBAR BENDERA JALUR GEMILANG LUSUH KOYAK

Satu penghinaan kepada Jalur Gemilang dan negara apabila masih mengibarkan atau membiarkan bendera kebangaan negara dalam keadaan lusuh dan koyak. Mengibarkan Jalur Gemilang dianggap tanda semangat patriotik bertukar menjadi satu penhinaan jika bendera dibiarkan lusuh dan koyak. Kita tentu tidak akan berpakaian lusuh dan koyak untuk menandakan kegembiraan dan kebanggan.

Jika tiada Jalur Gemilang yang baharu untuk menggantikan yang lusuh dan koyak, janganlah dibiarkan yang lusuh dan koyak itu terus dikibarkan. Lebih baik tiada langsung dikibarkan daripada mengibarkan yang lusuh dan koyak.

Sikap rakyat yang tidak sensitif terus mengibarkan Jalur Gemilang yang lusuh dan koyak mencerminkan sikap tidak ambil peduli erti sebuah bendera. 

Rakyat sepatutnya menghayati kata pujangga berkaitan bendera: "Bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Walau bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian."

Untuk menggantikan Jalur Gemilang bukan mahal. Kalau pada musim pilihan raya ada yang sanggup berhabisan memasang bendera parti, mengapa pula tidak sanggup mengeluarkan sedikit belanja untuk Jalur Gemilang yang bernilai sekitar RM10 hingga RM20 sehelai sahaja.

Semangat mengibarkan Jalur Gemilang tidak seharusnya kerana mendapatnya secara percuma, tetapi biarlah didasarkan kepada keutuhan jiwa dan semangat sayangkan negara. 

Jalur Gemilang adalah simbol semangat patriotik setiap warganya yang sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan negara.

Cuba kita fikirkan, apa yang mampu diharapkan terhadap rakyat yang tidak sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang amat kecil untuk membeli Jalur Gemilang. Mereka ini tidak sanggup berkorban untuk menunjukkan tanda cinta terhadap negara.

Ketika Jalur Gemilang telah dibawa ke angkasa lepas oleh angkasawan negara, malang sekali masih ada rakyat yang menganggap ia hanya tidak ubah seperti kain-kain lain yang dicorakkan dengan lambang tertentu saja.

Dalam peperangan, bendera dijadikan lambang kepada bahawa pasukan itu masih 'kuat' selagi bendera negaranya masih berkibar. Sebab itu, dalam peperangan terbuka melibatkan dua negara, contohnya ketika era peperangan yang membawa kepada penjajahan, bendera akan dinaikkan di tengah-tengah kubu pertahanan. 

Jika pihak musuh berjaya menurunkan bendera pasukan di satu-satu kawasan pertempuran, maka kawasan itu telah dianggap dikuasai atau dijajah. 

Sebenarnya, Galur Gemilang yang dijadikan 'penanda' rasmi kepada kawasan atau premis, perlu dinaikkan pada waktu siang dan diturunkan pada waktu malam. Ini seperti yang diamalkan di kem-kem tentera yang mana ada anggota khas ditugaskan untuk menurun dan menaikkan bendera secara tertib. 

Malah, acara menurunkan bendera di kem tentera pada sebelah petang diadakan secara kawat khas yang turut disertai pegawai yang akan bertugas pada sebelah malam.

Jadi, sepatutnya perkara ini diamalkan, menaikkan bendera pada waktu pagi dan menurunkan semula pada waktu sebelum malam. Ini secara langsung lebih menaikkan rasa hormat dan sayang kepada Jalur Gemilang. 

Jika dibiarkan berpanas dan berhujan dari mula ia dinaikkan atau diletakkan di situ sehinggalah lusuh dan seterusnya koyak rabak sehingga jatuh sendiri, di manakah semangat patriotik kita terhadap negara.

 Jika dalam peperangan musuh yang akan menurunkan bendera kita sebagai tanda kalah, apakah kita akan membiarkan Jalur Gemilang lusuh dan koyak yang melambangkan betapa rapuh dan lemahkan semangat patriotik kita?

Kibarkan Jalur Gemilang dan serlahkan semangat patriotik yang perlu subur dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.

1 comment:

  1. Pemimpin ibarat bendera yang coraknya tak boleh ditukar tetapi mutu kainnya perlu dijaga dengan sebaik yang mungkin. Maksudnya, pemimpin yang sudah terlalu lama berkuasa dan masih mahu berkuasa adalah sama seperti bendera yang sudah terlalu lusuh! Oleh itu, pemimpin yang sudah terlalu lapuk perlu digantikan oleh pemimpin baharu yang lebih bersemangat untuk menjaga kedaulatan negara kita! Seterusnya, bendera yang sudah terlalu lusuh perlu ditukar dengan bendera baharu yang lebih segar!

    ReplyDelete