Islam telah menetapkan instrumen yang mampu
menjadikan aktiviti perekonomian umat Islam teratur dan berjaya. Jika ajaran
Islam diikuti sepenuhnya, umat Islam mampu mencapai kejayaan dalam ekonomi
melebihi umat-umat lain.
Justeru tidak benar dakwaan mengatakan umat
Islam mundur disebabkan banyak perkara diharamkan dalam Islam. Umat Islam pada
masa lampau pernah mencapai kegemilangan ekonomi disebabkan mengikut ajaran
Islam dengan sebenarnya.
Kegagalan umat Islam dalam ekonomi bukan
disebabkan peraturan ditetapkan syariat, tetapi sikap serta daya saing umat
Islam yang lemah berbanding penganut agama lain.
Perubahan sikap dan semangat untuk memajukan
diri, keluarga dan agama perlu ditanam dalam setiap penganut agama Islam.
Konsep pengurusan harta yang dianjurkan Islam
meliputi aspek penghasilan harta, pengumpulan atau pengembangan, perlindungan,
pengagihan dan penyucian.
Harta yang diperoleh hendaklah dikembangkan
dan tidak seharusnya statik atau tidak bertambah.
Sebab itu Islam sentiasa menekankan kepada
pengembangan harta. Tindakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada
pemiliknya, bahkan kepada sistem ekonomi keseluruhannya.
Konsep pengembangan harta yang paling popular
ialah pelaburan.
Maksud pelaburan amat luas kerana apa-apa
usaha menggunakan wang atau kekayaan sedia ada 'dilaburkan' kepada satu-satu
instrument yang melibatkan untung rugi boleh dianggap sebagai usaha untuk
mengembangkan harta.
Pelaburan dibuat pengusaha akan membuka
peluang kepada aktiviti gandaan seperti peluang pekerjaan, serta aktiviti
ekonomi yang berkaitan dengannya.
Maka sebab itu mengapa Islam melarang berlaku
pembekuan harta atau harta yang tidak dicairkan untuk aktiviti ekonomi.
Bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam
perniagaan atau sesuatu urusniaga, pelaburan dalam perniagaan paling
menguntungkan. Rasulullah sendiri menggalakkan agar umat Islam terlibat dalam
perniagaan.
Pada zaman Rasulullah dulu, para sahabat yang
menjalankan perniagaan adalah antara mereka yang menjadi kaya raya dan banyak
membantu atau menyumbangkan kekayaan masing-masing untuk mengembangkan ajaran
Islam.
Malah dalam mana-mana sejarah kehidupan
manusia, termasuk masa sekarang, golongan paling kaya adalah terdiri daripada
peniaga atau usahawan.
No comments:
Post a Comment