Thursday 17 October 2019

TABIAT MEMBELI SECARA DALAM TALIAN

Tabiat membeli-belah secara dalam talian atau online sudah menjadi trend dalam kalangann masyarakat Malaysia. Ia semakin berkembang dengan pantas selari dengan kemudahan edagang yang disediakan.

Sebelum ini jualan mega di pusat beli-belah pasti ditunggu-tunggu kerana itulah peluang untuk berbelanja sakan dengan diskaun menarik.

Bagaimanapun perubahan teknologi serta lambakan jualan pelbagai produk secara dalam talian telah banyak mengubah corak pembelian pengguna.

Macam-macam tawaran dibuat melalui platform online. Harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding di pasaran.

Jika bayaran penghantaran dikatakan meningkatkan kos pembelian, sebenarnya tidak semua keadaan begitu. Pengendali e-dagang dan penjual sentiasa menawarkan kos penghantaran percuma untuk jumlah pembelian yang ditetapkan.

Keistimewaan membeli online sudah tentu dikaitkan dengan pembeli tidak perlu pergi ke gudang atau kedai. Lebih menarik lagi ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja asalkan ada sambungan internet.

Trend berbelanja secara online sudah menjadi amalan rakyat Malaysia apabila mereka menjadikan amalan itu sebagai rutin mingguan, bulanan atau tahunan dalam membeli barangan yang diingini.

Melihat trend perniagaan secara online sekarang, ia semakin berkembang pesat sehingga membuatkan ia mengubah cara berbelanja rakyat di negara ini.

Jika tahun-tahun sebelum ini, 75 peratus penghantaran barangan e-dagang adalah dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri luar seperti Pulau Pinang, Johor dan Terengganu namun ia semakin berubah kebelakangan ini apabila kebanyakan penghantaran berlaku di kawasan-kawasan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak.

Kini, tilam pun pelanggan akan membelinya secara online.

Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa melaporkan, populariti membeli-belah secara online rakyat Malaysia telah meningkat sembilan peratus berbanding tahun 2016 dengan 76 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka membeli-belah secara online sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Kajian itu juga menunjukkan kategori teratas untuk belian secara online adalah pembayaran bil 58 peratus, fesyen 52 peratus dan tempahan perjalanan 52 peratus.

Jika pada awalnya, Facebook adalah medium untuk masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain, kini telah berubah menjadi medan untuk pelanggan dan pembeli membincangkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Selari dengan perkembangan trend pembelian online, kini bilangan syarikat penghantaran semakin bertambah dan berkembang untuk memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan berkenaan.

No comments:

Post a Comment